Nur Nasuha (tiga, kanan) menerima sumbangan daripada Zainal Rashid yang menyantuni keluarganya pada Isnin.
Nur Nasuha (tiga, kanan) menerima sumbangan daripada Zainal Rashid yang menyantuni keluarganya pada Isnin.

Nur Nasuha lega terima bantuan YPM ke MRSM Pasir Tumboh

ASWANY OMARASWANY OMAR
03 Feb 2025 11:58pm

Kesedihan pelajar cemerlang yang pernah tular kerana tidak dapat menjalani ujian kelayakan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Nur Nasuha Mohd Nusi Mamat kini terubat selepas menerima sumbangan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) untuk menyambung pelajaran di MRSM Pasir Tumboh, Kelantan.

Menurut Nur Nasuha, wang sumbangan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membeli keperluan dan kelengkapan memasuki sekolah berkenaan.

Katanya, satu kelegaan apabila banyak pihak termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara) sedia membantu dan memudahkan urusannya untuk belajar dan mahu mengubah nasib keluarga.

"Sumbangan ini sangat membantu meringankan beban bapa yang tidak mampu bekerja berat kerana masalah kesihatan," katanya ketika di temui di rumah sewa keluarganya di Kampung Lubok Nibong Pak Badol, Kelantan pada Isnin.

Anak kedua daripada lima beradik itu menerima sumbangan yang disampaikan Pengarah Kanan Jabatan Pembangunan Dana, Yayasan Pelajaran Mara, Zainal Rashid Zakaria.

Nur Nasuha yang menerima surat tawaran daripada Mara pada 18 Januari lalu bersyukur kerana akhirnya diberi peluang berada bersama rakan-rakan lain di MRSM Pasir Tumboh pada 16 Februari ini.

"Saya bercita-cita menjadi pensyarah dan banyak mendengar cerita guru di sekolah mengenai keistimewaan MRSM yang terdiri daripada pelajar bijak. Jadi saya mahu bersama kawan-kawan di sekolah itu," katanya.

Kisah Nur Nasuha pernah tular selepas tidak dapat menduduki ujian kecenderungan MRSM (UKKM) dan ujian khas International General Certification of Secondary Education (IGCSE) ke Tingkatan Satu 2025 di MRSM Kuala Krai pada 8 Oktober lalu kerana masalah kewangan keluarga.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zainal Rashid berkata, bantuan susulan sebanyak RM500 dan beg sekolah diharap dapat memberi semangat untuk meneruskan kecemerlangannya.

"Semoga cita-citanya dapat direalisasikan. Lupakan kemiskinan dan latar belakang serta terus fokus kepada pelajaran," katanya.

Beliau juga memohon lebih banyak agensi kerajaan, sektor swasta dan golongan korporat menyumbang kepada yayasan berkenaan supaya lebih ramai pelajar miskin dapat dibantu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp