Para peserta CSR Kesedaran dan Inspirasi Lindungi Alam Sekitar bergambar kenangan.
Para peserta CSR Kesedaran dan Inspirasi Lindungi Alam Sekitar bergambar kenangan.

Belajar menghormati haiwan, alam sekitar

15 May 2024 03:55pm

Seramai 80 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) bersama guru dan murid Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Pos Bersih, Perak serta wakil Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia menyertai aktiviti kerja sosial di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Sungkai, Perak.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kesedaran dan Inspirasi Lindungi Alam Sekitar merupakan program anjuran Politeknik Sultan Azlan Shah dengan kerjasama Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia & Asia Pasifik.

Program sebegini penting dalam melatih para peserta amnya pelajar bagi memupuk kesedaran untuk mencintai haiwan, rasa hormat, bertimbang rasa dan bertanggungjawab kepada kelestarian alam seterusnya kesedaran ini dapat disampaikan kepada keluarga dan masyarakat.

Para peserta turut diterapkan dengan semangat menyumbang semula tidak hanya dalam bentuk wang ringgit tetapi dalam bentuk khidmat masyarakat kepada alam sekitar.

Wakil PSAS menerima Sijil Anugerah Alam iaitu Anugerah Sang Harimau.
Wakil PSAS menerima Sijil Anugerah Alam iaitu Anugerah Sang Harimau.

Para peserta juga dapat mendekati alam terutama habitat semula jadi dan cakna akan isu haiwan yang terancam di Malaysia.

Program sebegini amat bermakna dalam menarik minat para peserta untuk terus berjasa kepada alam semula jadi dan menjadi titik punca untuk para pelajar bersedia dengan alam pekerjaan dan kehidupan mereka nanti.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang program itu berlangsung, para peserta menjalankan aktiviti membersihkan sangkar, memberi makanan kepada haiwan, membersihkan kawasan, mengecat dinding bangunan dan mencuci longkang yang tersumbat.

Pusat Konservasi Hidupan Liar Perhilitan Sungkai juga menjalankan pembiakan haiwan terancam seperti seladang, rusa sambar, burung kuang dan tenggiling.

Majlis perasmian program ini disempurnakan oleh Pengarah PSAS, Ts Mohd Zulkefli Ibrahim dan hadir sama ialah Presiden Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia & Asia Pasifik, Dr Santharasekaran Subramaniam.

PSAS turut menerima Sijil Anugerah Alam iaitu Anugerah Sang Harimau yang disampaikan oleh Presiden Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia & Asia Pasifik.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp