Carolyn (kiri) bersama empat penuntut UMK dan Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam, UMS, Profesor Dr Jualang Gansau (tiga dari kiri), di NDRC, baru-baru ini.
Carolyn (kiri) bersama empat penuntut UMK dan Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam, UMS, Profesor Dr Jualang Gansau (tiga dari kiri), di NDRC, baru-baru ini.

Beri ruang mahasiswa jalani latihan industri di NDRC

24 Apr 2024 12:13pm
A
A
A

Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) membuka ruang latihan industri kepada empat mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK), baru-baru ini.

Menurut Pengarah NDRC, Profesor Madya Ts Gs Dr Carolyn Melissa Payus, latihan industri tersebut merupakan salah satu daripada program UMS untuk membolehkan penuntut didedahkan dengan lebih dekat kepada pelbagai bentuk penyelidikan bencana alam dan pengurusan era perubahan iklim.

Carolyn berkata, antara yang dipelajari oleh mereka adalah pendedahan terhadap permodelan dan ramalan risiko banjir; praktikal dalam seismik dan reka bentuk bangunan; analisis geokimia; serta perubahan iklim dan cuaca ekstrem.

“Latihan industri ini adalah salah satu keperluan kurikulum akademik mahasiswa untuk menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Geosains) dengan Kepujian.

“Melalui program berkenaan, mereka berpeluang mengunjungi dan mengendali fasiliti SEISCOMP3 iaitu sistem pemantauan aktiviti seismik gempa bumi yang terdapat di makmal NDRC.

“Sistem berkenaan memantau aktiviti seismik gempa bumi daripada stesen-stesen seismik gempa bumi di seluruh dunia termasuklah yang terdapat di Sabah,” katanya dengan menambah sistem pemantauan gempa bumi di makmal NDRC hasil kerjasama strategik dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sejak tahun 2021.

Pendigitalan semula laluan sungai untuk permodelan banjir dan perbincangan terhadap kejadian tsunami serta banjir, Jepun pada tahun 2011.
Pendigitalan semula laluan sungai untuk permodelan banjir dan perbincangan terhadap kejadian tsunami serta banjir, Jepun pada tahun 2011.

Sementara itu, Carolyn berkata, penuntut yang menjalani program latihan industri di NDRC turut dilibatkan secara aktif dalam program khidmat masyarakat anjuran NDRC.

Artikel Berkaitan:

“Kami menjalankan bengkel pembentukan Task Force bersama komuniti dan program pendidikan bencana di beberapa kawasan hot spot termasuklah sangkutan sementara di jabatan kerajaan yang mempunyai hubungan strategik dengan NDRC seperti MET Malaysia dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

“Program penempatan mahasiwa untuk latihan industri seperti ini telah bermula sejak 2018 lagi dengan lebih 14 penuntut setakat ini berjaya menghabiskan latihan praktikal di NDRC.

“Justeru, NDRC mengalu-alukan penglibatan yang lebih ramai mahasiswa universiti luar pada masa hadapan. Maklumat lanjut untuk permohonan bagi menjalani latihan industri di NDRC boleh dihantar ke alamat e-mel ndrc@ums.edu.my,” katanya.

Sebelum itu, program latihan industri tersebut diletakkan di bawah penyeliaan felo-felo utama NDRC iaitu Dr Janice Lynn Ayog, Ir Ts Dr Noor Sheena Herayani Harith, Profesor Dr Baba Musta dan Pegawai Penyelidik NDRC, Eldawaty Madran.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok