Tindakan (senarai hitam) hanya bersifat sementara dan boleh ditarik semula apabila ibu bapa berunding dengan pihak Mara.
Tindakan (senarai hitam) hanya bersifat sementara dan boleh ditarik semula apabila ibu bapa berunding dengan pihak Mara.

Anak tidak boleh masuk MRSM jika ibu bapa disenarai hitam Mara

NURUL HUDA HUSAINNURUL HUDA HUSAIN
14 Nov 2024 05:16pm

Majlis Amanah Rakyat (Mara) menetapkan syarat seseorang pelajar itu tidak layak memohon masuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sekiranya ibu bapa mereka disenarai hitam kerana gagal melunaskan hutang dengan agensi tersebut.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, syarat itu antara usaha Mara untuk memastikan peminjam, sama ada pinjaman pendidikan atau usahawan, tidak culas membayar hutang.

Beliau bagaimanapun berkata, tindakan itu hanya bersifat sementara dan boleh ditarik semula apabila ibu bapa berunding dengan pihak Mara.

"Berkaitan sudut senarai hitam, untuk makluman, ia bersifat sementara. Peminjam yang tidak bayar, maksudnya ibu bapa (membuat pinjaman) usahawan, contohnya untuk memastikan sistem perniagaan dapat dinaik taraf (akhirnya disenarai hitam kerana tidak bayar).

"Sistem senarai hitam ini kita kenakan apabila tiga bulan tidak bayar. Tujuannya kita hendak peminjam datang jumpa Mara dan selesaikan isu ini," katanya.

Beliau berkata, jika ibu bapa tidak mampu membayar pinjaman, mereka boleh membuat penstrukturan semula pembayaran.

"Kalau tidak mampu bayar, berapa mampu bayar, buat adjustment (penstrukturan) balik. Pokoknya, dia bayar pinjaman Mara.

Artikel Berkaitan:

"Kalau dia (ibu bapa) sudah bayar balik dan kebanyakan kes akan bayar, senarai hitam itu secara automatik tidak ada lagi, akan dikeluarkan. Sebab itu sudut senarai hitam itu hanya sementara,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai syarat kemasukan ke MRSM serta perancangan kementerian untuk menghapus senarai hitam ibu bapa yang meminjam dengan agensi terlibat bagi memberi peluang kepada anak-anak memohon kemasukan ke sekolah berkenaan.

Tambah Rubiah, secara asasnya, kemasukan ke MRSM terbuka kepada semua warganegara Malaysia, namun kecemerlangan akademik perkara utama yang ditekankan.

"Keutamaan kita, (pelajar) mestilah cemerlang dalam ujian kelayakan ke MRSM," ujarnya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, kategori pelajar yang memasuki MRSM dibahagikan kepada tiga iaitu B40, M40 dan T20 yang mana layanan diterima adalah tidak sama.

"Maksudnya layanan dari sudut akademik sama tetapi dari sudut (lain) kita wujudkan sedikit bayaran kepada golongan M40 dan T20 untuk memenuhi beberapa keperluan dalam pendidikan.

"Bagi B40 yang tidak mampu, kita ada program khas dinamakan Program Budi. Bagi program ini, Mara akan berikan tajaan sepenuhnya kepada pelajar B40 yang layak," jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp