
Biasiswa bina masa depan
Inisiatif Biasiswa Siswi SAFI buka ruang pendidikan, kerjaya buat wanita muda IPTA tanpa beban kewangan
Di sebalik pencapaian akademik yang membanggakan, masih ramai pelajar wanita di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berdepan pelbagai kekangan membataskan potensi sebenar mereka.
Faktor kewangan, tanggungjawab keluarga dan tekanan sosial sering menjadi cabaran kepada usaha untuk mereka meneruskan pengajian dengan tenang serta fokus.
Menyedari realiti itu, Pakar Jenama dan Tinjauan Maklumat Safi, Kazlina Mohd Kassim berkata, inisiatif Biasiswa Siswi SAFI membawa misi membuka ruang dan harapan kepada siswi terpilih supaya terus melangkah ke hadapan.
“Program ini diwujudkan bagi memastikan bakat dan potensi yang dimiliki tidak terhenti di tengah jalan.
“Sebaliknya diberikan sokongan agar mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pembelajaran, membina masa depan dan mengejar cita-cita dengan yakin tanpa dibebani tekanan kewangan,” katanya.
Kazlina berkata demikian kepada Sinar Bestari selepas menyampaikan Biasiswa Siswi Safi kepada 25 pelajar IPTA bertempat di Pusat Konvensyen Sime Darby.
Ia merupakan cara Safi memberi kembali kepada masyarakat yang telah mempercayai jenama kecantikan halal di Malaysia selama lebih daripada 35 tahun dengan melabur semula ke dalam masa depan wanita-wanita muda.

Kongsi Kazlina, ia tempoh yang amat dibanggakan kerana telah berjaya menemui ramai wanita muda Malaysia yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi memiliki sifat kepimpinan, keazaman serta potensi untuk menjadi barisan pemimpin di masa hadapan.
“Sebab itulah Safi terus kekal komited untuk memperkasakan wanita muda dalam perjalanan mereka mencapai impian dan aspirasi akademik demi membentuk masa depan negara yang lebih gemilang.
“Apa yang benar-benar membezakan Biasiswa Siswi Safi ini ialah ia bukan satu pinjaman tapi sebuah kepercayaan.
“Tiada bayaran balik, tiada hutang dan tiada beban kewangan yang menanti selepas graduasi.
“Sebaliknya, penerima biasiswa disokong sepenuhnya untuk melangkah ke alam kerjaya dengan lebih yakin melalui peluang latihan industri, bengkel pembangunan kerjaya serta laluan ke program latihan pengurusan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Kazlina menyatakan hasrat agar 25 siswi terpilih untuk Biasiswa Siswi Safi akan memanfaatkan peluang yang diberikan sebagai platform untuk terus berkembang di masa hadapan.
“Teruskan melangkah lebih jauh dalam merealisasikan impian akademik serta kerjaya masing-masing. Secara tidak langsung, ia akan menyumbang kepada masa depan negara yang lebih gemilang,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Pelajar wanita IPTA menghadapi kekangan kewangan, tanggungjawab keluarga, dan tekanan sosial
- Biasiswa Siswi SAFI diwujudkan untuk membantu pelajar wanita mengatasi cabaran ini
- Inisiatif ini membantu mereka fokus kepada pembelajaran dan mengejar cita-cita tanpa tekanan kewangan
- Biasiswa ini merupakan bentuk penghargaan Safi kepada masyarakat selepas lebih 35 tahun kepercayaan pada jenama tersebut
- Biasiswa tersebut menyediakan sokongan penuh termasuk peluang latihan industri dan pembangunan kerjaya tanpa perlu dibayar balik
