
UOA Academy buka laluan masa depan 50 pelajar golongan rentan melalui program kemahiran berimpak tinggi
UOA Academy hari ini melakar satu langkah signifikan dalam memperkasa akses pendidikan kemahiran apabila melancarkan Majlis Pelancaran Pengambilan Pelajar Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menawarkan Sijil Profesional Seni Kulinari serta Sijil Profesional Servis Operasi Makanan dan Minuman.
Inisiatif berimpak tinggi ini dibiayai oleh TalentCorp Malaysia di bawah inisiatif MyMahir, sekali gus membuka laluan pendidikan alternatif yang inklusif dan berdaya saing kepada 50 pelajar daripada golongan rentan yang terpilih bagi kohort sulung program berkenaan.
Pengambilan tersebut melibatkan peserta daripada latar belakang anak Orang Asli, asnaf fakir miskin, anak yatim piatu serta individu yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, menjadikan program ini sebagai medium mobiliti sosial yang mampu mengubah hala tuju kehidupan mereka.
Program TVET ini dirangka secara praktikal, berstruktur dan berfokus kepada kebolehpasaran kerja, khususnya dalam industri hospitaliti serta perkhidmatan makanan dan minuman yang terus berkembang pesat.
Melalui pembiayaan MyMahir, peserta akan mengikuti latihan menyeluruh merangkumi pembelajaran berasaskan kemahiran sebenar, pendedahan industri, latihan praktikal serta persediaan kebolehkerjaan, selari dengan keperluan industri semasa.

Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran rakan industri strategik yang telah menjalin kerjasama erat bersama UOA Academy antaranya Marriott Malaysia, Crowne Plaza KLCC by IHG, Pan Pacific Hotels Group, Concorde Hotel, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), UOA Hospitality, Lembaga Zakat Selangor, Tradewinds Corporation Berhad dan The Danna Langkawi.
Kehadiran pemain industri dan agensi berkaitan ini mencerminkan sokongan padu sektor swasta terhadap usaha memperkukuh ekosistem TVET sebagai pemangkin kepada pembangunan modal insan dan peningkatan taraf hidup masyarakat.
Ketua Pegawai Pembelajaran UOA Academy, Aqmal Fikri berkata, program tersebut merupakan satu intervensi sosioekonomi yang dirangka khusus untuk mengubah trajektori kehidupan golongan terpinggir.
"TVET bukan sekadar tentang kemahiran teknikal. Ia adalah tentang membuka pintu harapan, memulihkan keyakinan diri dan menyediakan peluang pekerjaan sebenar yang disokong oleh industri," katanya dalam ucapan perasmian.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan industri yang tampil sebagai pemangkin kepada kejayaan serta kelestarian program ini, sekali gus memastikan graduan yang dilahirkan benar-benar bersedia menyertai pasaran kerja.
Pelancaran ini memperkukuh peranan UOA Academy sebagai penyedia pendidikan dan latihan yang komited terhadap agenda nasional pembangunan modal insan, selari dengan aspirasi negara untuk memperluas akses TVET yang inklusif, berimpak dan mampan.
Dengan sokongan berterusan TalentCorp Malaysia serta kerjasama erat pihak industri, UOA Academy optimis program ini bukan sahaja akan melahirkan tenaga kerja mahir dalam sektor hospitaliti dan perkhidmatan makanan, malah membuka lembaran baharu kehidupan kepada 50 pelajar terpilih sebagai langkah awal menuju masa depan yang lebih cerah.
Ringkasan AI
- UOA Academy melancarkan program pendidikan dan latihan TVET dengan kerjasama TalentCorp Malaysia untuk 50 pelajar daripada golongan rentan
- Program ini menawarkan Sijil Profesional Seni Kulinari dan Sijil Profesional Servis Operasi Makanan dan Minuman
- Peserta adalah dari kalangan Orang Asli, asnaf fakir miskin, anak yatim piatu, dan individu yang tidak bisa melanjutkan pendidikan tinggi
- Program ini praktikal dan berfokus kepada pembelajaran berasaskan kemahiran serta kebolehpasaran kerja dalam industri hospitaliti dan makanan dan minuman
- Pelancaran program ini disokong oleh pemain industri dan agensi berkaitan sebagai upaya memperkuat ekosistem TVET dan membuka peluang pekerjaan