Penyerahan Anugerah Khas Sekolah Showcase yang disampaikan Surieyani (kiri) kepada Subramaniyan (tiga kanan)
Penyerahan Anugerah Khas Sekolah Showcase yang disampaikan Surieyani (kiri) kepada Subramaniyan (tiga kanan)

PPKI SMK Kota Masai terima Anugerah Khas Sekolah Showcase 2025, lestari pendidikan berkualiti MBPK

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
14 Dec 2025 10:30am

Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai, Johor terus membuktikan kecemerlangan apabila menerima Anugerah Khas Sekolah Showcase sempena Majlis Apresiasi Pendidikan Khas Daerah Pasir Gudang baru-baru ini.

Majlis di bawah penganjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang menghimpunkan sekolah-sekolah pendidikan khas sekitar daerah bagi mengiktiraf usaha, komitmen dan inovasi yang dilaksanakan pendidik untuk memastikan murid berkeperluan khas mendapat akses pembelajaran terbaik.

Anugerah berprestij itu diberikan kepada PPKI SMK Kota Masai sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang mereka.

Antaranya memperkenalkan pelbagai pembaharuan, amalan baik, pendidikan berkualiti dan pencapaian tinggi murid yang dinilai memberi impak besar terhadap dunia pendidikan khas.

Pengetua SMK Kota Masai, Subramanian Dorasamy menzahirkan penghargaan kepada guru-guru PPKI yang disifatkan sebagai tulang belakang kejayaan tersebut.

No Image Caption

"Pengiktirafan ini adalah hasil kerja keras serta dedikasi seluruh warga PPKI yang sentiasa komited mendidik dan membimbing murid dalam suasana pembelajaran yang inklusif serta menyeronokkan.

"Ia juga membuktikan bahawa murid berkeperluan khas mampu mencapai potensi tinggi jika diberikan ruang, sokongan dan bimbingan yang tepat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Penolong Kanan Pendidikan Khas, Jamilah Ali berkata, anugerah tersebut menjadi pemangkin semangat untuk terus meningkatkan kualiti program pendidikan khas pada masa hadapan.

"Kami komited untuk terus menghasilkan pendekatan baharu serta memperkukuh latihan kemahiran bagi memastikan murid mampu berdikari dan bersedia menghadapi kehidupan sebenar," katanya.

Majlis Apresiasi Pendidikan Khas Daerah Pasir Gudang diadakan setiap tahun sebagai platform menghargai kecemerlangan sekolah, guru dan murid dalam pelaksanaan program pendidikan khas.

Tahun ini, majlis turut menyaksikan pelbagai persembahan, pameran serta penyampaian anugerah kepada sekolah yang menunjukkan prestasi membanggakan.

Turut hadir merasmikan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan PPD Pasir Gudang, Surieyani Samsudin. 

Kejayaan PPKI SMK Kota Masai ini diharapkan dapat menjadi inspirasi dalam memperkasa pendidikan inklusif serta memupuk bakat murid berkeperluan khas secara berterusan.

 

Ringkasan AI

  • Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai menerima Anugerah Khas Sekolah Showcase sempena Majlis Apresiasi Pendidikan Khas Daerah Pasir Gudang
  • Anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang PPKI SMK Kota Masai dalam pendidikan khas
  • Pengetua SMK Kota Masai, Subramanian Dorasamy, mengucapkan penghargaan kepada guru-guru PPKI atas komitmen mereka dalam pendidikan inklusif
  • Penolong Kanan Pendidikan Khas, Jamilah Ali, menyatakan anugerah tersebut sebagai pemangkin untuk meningkatkan kualiti pendidikan khas
  • Majlis Apresiasi Pendidikan Khas Daerah Pasir Gudang merupakan platform tahunan untuk mengiktiraf kecemerlangan dalam pendidikan khas
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp