Bingkas Kasih merupakan satu usaha murni UMT dalam membantu penuntut daripada keluarga kurang berkemampuan.
Bingkas Kasih merupakan satu usaha murni UMT dalam membantu penuntut daripada keluarga kurang berkemampuan.

Bingkas Kasih UMT bantu mahasiswa kurang mampu

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
23 Sep 2024 05:00pm

Program bantuan universiti menjadi pemangkin kepada golongan mahasiswa kurang berkemampuan untuk terus berjaya dalam akademik dan kehidupan.

Ia bukan sahaja membantu penuntut dari segi kewangan, tetapi juga memberi keyakinan dan semangat untuk mereka meneruskan pengajian tanpa rasa terpinggir.

Baru-baru ini, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melancarkan satu inisiatif khas dikenali Program Bingkas Kasih.

Inisiatif murni berkenaan bertujuan membantu penuntut baharu kategori B40 dalam merealisasikan impian mereka melanjutkan pengajian di peringkat universiti.

Menurut Naib Canselor UMT, Profesor Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim, Bingkas Kasih merupakan satu usaha murni UMT dalam membantu penuntut daripada keluarga kurang berkemampuan.

Katanya, bantuan kewangan dan barangan asas menerusi Bingkas Kasih dapat meringankan beban mereka (mahasiswa) sekali gus menjadi pemangkin semangat untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik.

"Ingatlah para penuntut sekalian, pendidikan adalah jalan terbaik untuk mengubah nasib diri dan keluarga.

"Kami di UMT sentiasa komited dalam memastikan tiada pelajar yang tercicir dan sentiasa menyokong perjalanan kalian untuk menuju kejayaan,” ujarnya ketika sesi ziarah program Bingkas Kasih ke rumah salah seorang mahasiswa, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zamri
Mohd Zamri

Hadir sama Timbalan Naib Canselor HEPA UMT, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain, Ketua Pentadbiran HEPA UMT, Fadli Mamat dan pegawai-pegawai HEPA UMT.

Mengulas lanjut, Mohd Zamri berkata, UMT turut menekankan kepentingan mahasiswa mereka untuk terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti kampus bagi mengasah dan mengembangkan potensi diri.

"Inisiatif Bingkas Kasih bukan sahaja menawarkan bantuan kewangan tetapi turut memberi sokongan moral kepada mereka yang memerlukan.

"Sokongan ini hadir melalui pelbagai bantuan seperti biasiswa, Bantuan Dana Siswa dan Bantuan Khas Sara Hidup yang telah lama menjadi amalan di UMT,” ujarnya.

Sementara itu, penerima manfaat program Bingkas Kasih, Hanisah Suryadi melahirkan rasa syukur atas bantuan dan inisiatif yang dilaksanakan pihak UMT.

"Terima kasih tidak terhingga kepada pengurusan universiti atas sokongan dan bantuan yang diberikan.

"Dengan pemberian ini, secara tidak langsung memberi saya semangat tinggi untuk meneruskan perjuangan di universiti demi mengubah nasib keluarga,” ujar penuntut Sarjana Muda Teknologi Alam Sekitar, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan, UMT ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp