No Image Caption

Blue Ocean Engineering Sdn Bhd juara Design & Build Single Store House Competition 2023

MOHAMAD AMREEL IMAN ABD MALEK.
28 Aug 2023 05:22pm
A
A
A



Pasukan Blue Ocean Engineering Sdn Bhd telah dinobatkan juara pada Pertandingan Design & Build Single Store House Competition 2023 yang diadakan di Dewan Jubli Perak kampus tersebut pada Khamis.

Berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM2,000 kejayaan pasukan tersebut adalah menampilkan projek dengan reka bentuk bangunan moden dan tradisional.

Menurut Pengurus pasukan Blue Ocean Engineering Sdn Bhd, Mohd Fadly Abdullah, projek anjuran Politeknik Kota Bharu, Kelantan, dengan kerjasama Blackfox Engineering Sdn Bhd itu telah disertai sebanyak enam pasukan.

“Kemenangan Blue Ocean Engineering Sdn Bhd berdasarkan produk yang dibina dengan mengambil kira pencahayaan semula jadi.

“Ia (pencahayaan semula jadi) bertujuan mengurangkan penggunaan tenaga serta direka bentuk untuk membenarkan pergerakan udara luar masuk bagi memberi keselesaan kepada pengguna,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

No Image Caption



Dalam pada itu, wakil Blackfox Engineering Sdn Bhd, Ilham Shah Azni memberitahu, pemodelan Maklumat Bangunan atau Building Information Modeling (BIM) mempunyai pelbagai kelebihan yang dapat dimanfaatkan dalam keseluruhan rantaian nilai industri pembinaan.

“Apabila digunakan dari peringkat perancangan, BIM membolehkan semua pihak yang terlibat dalam projek itu untuk memvisualisasikan, mengkoordinasikan dan menganalisa ciri-ciri fizikal dan fungsi utama setiap elemen sebelum pembinaan bermula,” tuturnya lanjut.

Artikel Berkaitan:


Pertandingan tersebut yang diterajui Pensyarah kursus DCC50242 Building Information Modeling (BIM) bagi Program Diploma Kejuruteraan Awam (DKA) dan kursus DCQ50262 Building Information Modeling (BIM) bagi Program Diploma Ukur Bahan (DUB) telah melibatkan penggunaan perisian REVIT.

Diperuntukkan sebanyak RM2,000 bagi setiap pasukan sebagai perbelanjaan menyiapkan projek tersebut, tempat kedua dimenangi oleh Neutra Casa Sdn Bhd membawa pulang wang tunai RM1,000 manakala tempat ketiga disandang Dynamic Builders Sdn Bhd dengan wang tunai sebanyak RM650.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ilham Shah dan turut hadir, Pengarah Politeknik Kota Bharu, Mohd Fikri Ismail; Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Nik Soh Yaacoub; Penolong Pengurus Kanan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Kelantan, Mohamad Roslan Mokhtar; Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Kota Bharu, Mohd Zaidi Che Mod dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Che Anuzi Yusoff.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok