Narmin (tengah) bersama dua guru pengiring yang membantu dia menghasilkan cerpen seram menarik.
Narmin (tengah) bersama dua guru pengiring yang membantu dia menghasilkan cerpen seram menarik.

Pelajar SMK Rantau Panjang juara Pertandingan Menulis Cerpen

06 Jan 2024 01:43pm

Juara Pertandingan Menulis Cerpen sempena Festival Seram Buku Prima, Narmin Mohd Sahri, 16, mengambil masa selama sebulan untuk menghasilkan karya bertajuk Bau Mawar.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Klang, Selangor itu berkata, dia melalui detik sukar untuk menyiapkan penulisan tersebut kerana terpaksa berjaga sehingga lewat malam semata-mata mahu mendapatkan idea seram.

“Ini kali pertama saya menyertai pertandingan menulis cerpen genre seram. Sebelum ini saya sering melibatkan diri dalam acara menulis cerpen bebas.

“Tujuan saya menyertai pertandingan ini untuk mencabar kebolehan diri dalam menghasilkan penulisan mistik. Fasa kumpul idea proses paling mencabar kerana ia bermain dengan imaginasi,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Karangkraf, pada Jumaat.

Menurut Narmin, tanpa dorongan ibu bapa dan guru, dia tidak mampu untuk menghasilkan penulisan yang baik.

Dalam pada itu, Guru Perpustakaan dan Media SMK Rantau Panjang, Siti Rohana Mohd Taha berkata, pihak sekolah sentiasa menyokong minat pelajar yang mahu mengembangkan bakat dalam dunia penulisan.

Katanya, program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) membantu pelajar meneroka ilmu baharu.

Pertandingan Menulis Cerpen sempena Festival Seram Buku Prima mendapat sambutan menggalakkan apabila berjaya meraih lebih 30 penyertaan.
Pertandingan Menulis Cerpen sempena Festival Seram Buku Prima mendapat sambutan menggalakkan apabila berjaya meraih lebih 30 penyertaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, teater tradisional Mek Mulung menjadi inspirasi buat mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana untuk merangkul gelaran juara dalam Pertandingan Teater Seram.

Penuntut UiTM itu membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan trofi selepas menewaskan enam peserta dari institusi pengajian tinggi (IPT) lain dalam pertandingan berkenaan.

Wakil mahasiswa UiTM, Nazmie Ikhmal Badrul Hisham berkata, mereka mengolah naratif penceritaan Mek Mulung namun mengekalkan konsep sedia ada seperti watak dan lagu asal teater tersebut.

“Kami bereksperimen dengan teater tradisional ini tetapi masih guna struktur asal iaitu ada pembukaan panggung dan berakhir dengan nyanyian lagu Kecil Milik Mek Mulung yang memang tak diubah.

“Skrip pula daripada alumni yang diolah sedikit sebab skrip asal adalah satu jam dan dijadikan kurang daripada 20 minit sesuai dengan peraturan pertandingan ini.

“Kami tak letak harapan tinggi untuk menang kerana hanya buat yang terbaik dan bersungguh-sungguh dengan hayati watak supaya ia sampai kepada juri dan penonton melalui persembahan,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp