Pencapaian Qayyum Iman sepanjang pengajian buat ramai kagum.
Pencapaian Qayyum Iman sepanjang pengajian buat ramai kagum.

Cemerlang SPM tetapi pilih kolej kemahiran! ‘Jangan terkejut, Qayyum Iman kini jurutera profesional di Australia’

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
08 Nov 2024 05:29pm

Kolej kemahiran di Malaysia sememangnya berjaya melahirkan ramai pelajar hebat yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing.

Malah, ia menjadi rebutan pelajar termasuklah mereka yang menunjukkan prestasi akademik membanggakan di sekolah masing-masing.

Qayyum Iman Sakri yang merupakan pelajar cemerlang Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa, Sungai Petani, Kedah telah mengikut gerak hati sendiri apabila memilih Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kuantan, Pahang untuk menyambung pengajian.

Mendapat 7A 2B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), anak kelahiran Sarawak itu lebih selesa belajar di KKTM Kuantan.

“Saya terima pelbagai tawaran melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, namun saya pilih kolej kemahiran.

"Di sini, saya meneruskan pengajian dalam bidang Diploma Kejuruteraan Pembuatan pengkhususan Automasi Industri dan Robotik.

No Image Caption

“Setelah tamat belajar, saya mendapat tawaran menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dalam Kejuruteraan Mekanikal di University of Adelaide, Australia tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah, pengajian berjalan lancar dan berjaya menggenggam ijazah tersebut pada awal tahun 2023," kongsi Facebook TVET Mara tentang perjalanan akademik Qayyum Iman.

Maklum Facebook itu lagi, Qayyum Iman kini jurutera berjaya di Australia.

Kepakaran teknikal pelajar tersebut diperkukuh melalui pensijilan industri dan simulasi praktikal bersama GE Aerospace dan GHD Group.

Pengalamannya juga merangkumi pembangunan prosedur nyahpasang enjin, kawalan kualiti untuk komponen aeroangkasa serta analisis kos dan impak untuk projek rel - kemahiran yang mencerminkan keupayaan penyelesaian masalahnya dan kemahiran tinggi dalam proses kejuruteraan.

Qayyum Iman juga memperoleh pengalaman praktikal melalui latihan industri di VPG Innovation, Toyota dan UMW, di mana beliau merekacipta bentuk jig khas untuk pembaikan saluran paip dan mengoptimumkan proses penyelenggaraan.

No Image Caption

Sebagai contoh, di VPG Innovation, beliau terlibat dalam kawalan kualiti dan penambahbaikan kecekapan untuk memastikan pematuhan standard industri.

Kepada Qayyum Iman, anda antara pelajar cemerlang yang mengagumkan ramai kerana memilih kolej kemahiran sebagai laluan pengajian.

Sudah terbukti, graduan kemahiran juga mampu bergelar jurutera hebat dalam dunia pekerjaan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp