CFS IIUM #QuranHour didik peserta berinteraksi bersama al-Quran
Seramai 300 peserta termasuk pensyarah dan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyertai program CFS IIUM #QuranHour di Masjid Pusat Asasi UIAM, Gambang, Pahang baru-baru ini.
Program yang julung kali diadakan itu sebagai tanda solidariti terhadap penganjuran Malaysia #QuranHour kendalian Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 yang lalu.
Tujuannya untuk mengajak semua warga Pusat Asasi UIAM berinteraksi dengan al-Quran melalui tema ‘Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara’ berpandukan surah Al-Jumu’ah dan Al-Hujurat.
Perjalanan CFS IIUM #QuranHour dimulai dengan bacaan al-Quran secara berjemaah yang dipimpin dua qari yang juga penuntut Pusat Asasi UIAM, Muhammad Nazmi Razak dan Muhammad Nur Afiq Aziz.
Kemudian, majlis diteruskan dengan sesi tadabbur oleh Ustaz Muhammad Zahin Yusof (pensyarah Pusat Bahasa dan Pengurusan) dan Ustaz Ahmad Zaeim AB Rashid (pensyarah Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademik Pra-Universiti).
Dekan Pusat Asasi UIAM, Ustaz Hasanul Basri memuji program bermanfaat itu dan menyahut pandangan Penasihat Amesthyss Society Pusat Asasi UIAM, Hazi Usoluddin untuk menjadikan CFS #QuranHour sebagai program peringkat universiti selepas ini.
"Saya akan menyahut pandangan beliau untuk menjadikan CFS #QuranHour sebahagian daripada program asasi kita, insya-ALLAH.
"Ini merupakan satu permulaan yang bagus di mana kehidupan kita telah diadunkan oleh ALLAH dan dikekalkan pedoman berkenaan sampai ke hari kiamat iaitu al-Quran,” ujarnya.
Terdahulu, CFS IIUM #QuranHour adalah inisiatif persatuan pelajar melalui Amesthyss Society dengan kerjasama i-Masjid dan tajaan Karya Bestari bawah Kumpulan Media Karangkraf.
Program dilihat sebagai satu usaha signifikan dalam menyemarakkan semangat al-Quran dalam kalangan penuntut dan warga kampus Pusat Asasi UIAM sendiri.
Melalui bacaan dan tadabbur yang penuh penghayatan, inisiatif ini turut menyumbang kepada usaha membina generasi muda yang beriman, berilmu dan berakhlak mulia.