Pelajar-pelajar ditunjukkan kajian mikrob dan parasit.
Pelajar-pelajar ditunjukkan kajian mikrob dan parasit.

Dalami ilmu sains cara berbeza

Pelajar teruja didedahkan pendidikan sains di UiTM Puncak Alam

07 Aug 2024 09:01am

Seramai 250 peserta sekolah rendah dan menengah sekitar Selangor menyertai Scientific Discovery, baru-baru ini.

Program anjuran Jabatan Sains Asas, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor itu bertujuan mendedahkan cara atau kaedah terbaik dalam menarik minat pelajar mencintai dan mengenali cabang ilmu sains kesihatan secara lebih dekat.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Sains Asas, Razif Dasiman, program itu juga adalah salah satu inisiatif pihak fakulti meningkatkan kefahaman generasi muda dalam bidang sains tulen yang ada dalam lapangan sains kesihatan.

“Antara pengisian program yang dijalankan ialah perkongsian kajian-kajian penyelidikan sains kesihatan berkaitan ilmu kaji darah hematologi, kajian toksikologi zebrafish, kajian neuro farmakologi berkaitan otak, teknik menggunakan pipet yang betul, kajian histologi dan pameran struktur anatomi manusia,” katanya semasa menghadiri program itu di Jabatan Sains Asas, Fakulti Sains Kesihatan UiTM Cawangan Selangor, Puncak Alam.

Sehubungan itu, peserta turut didedahkan dengan simulasi klinik sebenar menggunakan model patung pesakit, simulasi wad hospital di Clinical Skills Lab dan juga lawatan ke Klinik Optometri bagi memahami proses perjalanan sebuah premis klinik mata.

Pelajar didedahkan situasi sebenar merawat pesakit di wad simulasi.
Pelajar didedahkan situasi sebenar merawat pesakit di wad simulasi.

Sepanjang sesi Scientific Discovery itu, peserta-peserta juga berpeluang melihat secara lebih jelas model dan sampel-sampel kajian sains yang ditunjukkan pelajar pascasiswazah penyelidikan.

Artikel Berkaitan:

Mereka juga diberi peluang menggunakan alat-alat pemprosesan sampel penyelidikan seperti Dino Eye untuk menganalisis sampel embrio zebrafish dan pemprosesan sampel organ haiwan menggunakan alat mikrotom untuk menyediakan potongan organ bagi slaid histologi.

Dalam pada itu, sesi kuiz sains berkaitan pameran yang disediakan turut dijalankan selepas sesi penerangan pameran dijalankan di makmal-makmal terlibat.

Di akhir sesi, ceramah penawaran kursus akademik berkaitan misi akademik sains kesihatan telah dijalankan bagi memperkenalkan program-program pengajian yang ditawarkan di FSK, UiTM.

Peserta diajar teknik menggunakan pipet dengan betul.
Peserta diajar teknik menggunakan pipet dengan betul.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp