Antara pelajar UiTM cawangan Shah Alam yang memakai pakaian berwarna hitam sempena kempen #MahasiswaUiTMbantah pada Khamis.
Antara pelajar UiTM cawangan Shah Alam yang memakai pakaian berwarna hitam sempena kempen #MahasiswaUiTMbantah pada Khamis.

Dasar ambilan pelajar UiTM kekal - Naib Canselor

16 May 2024 12:05pm

Dasar pengambilan pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak pernah berubah dan dakwaan institusi itu dibuka kepada bukan bumiputera tidak benar sama sekali.

Naib Canselor dan Pengerusi Senat UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib dalam satu kenyataan memaklumkan, setakat ini tidak berlaku sebarang perbincangan di Senat UiTM mahupun mesyuarat eksekutif universiti mengenai pengambilan pelajar bukan bumiputera.

Menurut Shahrin, mahasiswa UiTM sepatutnya menumpukan usaha menuntut ilmu dan bukan mengadakan tunjuk perasaan terhadap dakwaan yang tidak berasas.

"Saya merayu kepada semua mahasiswa agar menumpukan usaha iaitu menunaikan amanah sebagai seorang pelajar. Gunakanlah masa yang sangat berharga ini untuk belajar dan timba ilmu sebanyak mungkin demi masa depan yang tidak menentu. Ia perjuangan hakiki sebagai seorang pelajar," katanya pada Khamis.

Beliau juga memaklumkan, UiTM sememangnya berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 - UiTM ditubuhkan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 25 April lalu, portal berita kesihatan melaporkan Anggota Lembaga Program Parallel Pathway UiTM-IJN, Raja Amin Raja Mokhtar sebagai berkata, UiTM bersetuju membuka laluan kepada pelatih bukan bumiputera mendapatkan pendidikan lanjutan bidang kardiotoraks di universiti berkenaan.

Untuk rekod, UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks.

Artikel Berkaitan:

 Amir Nur Rashid (tengah) bersama dua pelajar UiTM ketika sidang akhbar pada Khamis.
Amir Nur Rashid (tengah) bersama dua pelajar UiTM ketika sidang akhbar pada Khamis.

Susulan itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mengadakan kempen supaya mahasiswa memakai pakaian hitam pada Khamis sebagai membantah rancangan membuka UiTM kepada pelajar bukan bumiputera.

Walau bagaimanapun, MPP UiTM menegaskan bahawa kempen #MahasiswaUiTMBantah bukan satu tindakan protes atau bantahan radikal kepada pihak institusi atau kerajaan.

Yang Dipertuanya, Amir Nur Rashid Lizam berkata, MPP bertindak sebagai barisan hadapan pelajar dan berpendirian untuk mengekalkan status quo semasa termasuk mempertahan hak yang dimiliki UiTM selama ini.

"Kempen ini dilaksanakan semata-mata untuk mendidik dan bukan untuk protes tetapi ia sebagai kesedaran kepada semua orang mengenai Perkara 153 yang kita mahu pertahankan.

"Tiada sebarang perhimpunan atau rusuhan tiada dalam perancangan, kami hanya mahu laksanakan kempen memakai pakaian berwarna hitam sebagai wave daripada pelajar dalam bentuk solidairiti," katanya.

Setakat ini tidak berlaku sebarang perbincangan di Senat UiTM mahupun mesyuarat eksekutif universiti mengenai pengambilan pelajar bukan bumiputera.
Setakat ini tidak berlaku sebarang perbincangan di Senat UiTM mahupun mesyuarat eksekutif universiti mengenai pengambilan pelajar bukan bumiputera.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp