
Dr Nur Shahidah bawa nama Malaysia dalam dunia Kejuruteraan Nuklear! 'Bukan calang-calang, beliau genius, berani, berilmu'
Pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Nuklear Lanjutan dalam Pengurusan Sisa Radioaktif dari Universiti Pohang Sains dan Teknologi (POSTECH), Korea Selatan, Dr Nur Shahidah Abdul Rashid, 34, kini muncul sebagai satu-satunya Jurutera Keselamatan Nuklear Malaysia yang berkhidmat di Perancis.
Kejayaan beliau menembusi bidang Kejuruteraan Nuklear antarabangsa bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah membuktikan bahawa anak Malaysia mampu bersaing di pentas global dalam bidang sains dan teknologi berprestij tinggi.
Menurut Dr Nur Shahidah, peluang berkhidmat di peringkat antarabangsa merupakan satu amanah besar yang menuntut komitmen, disiplin dan integriti tinggi dalam setiap tugasan.
"Saya bangga dan terharu kerana menjadi satu-satunya rakyat Malaysia di sini. Tapi rasa takut dan gementar pun ada kerana bertanggungjawab menjaga nama baik negara dan agama di mata dunia," ujarnya seperti dipetik portal tempatan.
Beliau kini berkhidmat di Autorité de sûreté nucléaire et de radioprotection (ASNR), autoriti nuklear Perancis yang berprestij dan menjadi satu-satunya rakyat Malaysia di agensi tersebut sejak Oktober tahun lalu.
Di ASNR, kepakarannya membolehkan beliau terlibat dalam pengendalian dan semakan lesen reaktor modular kecil serta reaktor modular termaju, selain analisis dan simulasi pencemaran radionuklid serta bahan kimia toksik terhadap alam sekitar dan manusia menggunakan perisian SYMBIOSE.
Selain itu, Dr Nur Shahidah juga merangka pelan pengurusan keselamatan alam sekitar dan manusia serta turut menyumbang dalam projek sampingan pengendalian lesen pembinaan Cigéo, repositori geologi dalaman untuk sisa radioaktif.
Kehebatan beliau dalam bidang tersebut jelas membuktikan bahawa anak Malaysia bukan calang-calang.
Dengan kepakaran tinggi dan dedikasi, wanita hebat ini telah membuka mata ramai bahawa kemampuan rakyat tempatan mampu menembusi bidang saintifik yang kompleks dan kritikal di peringkat antarabangsa.
Untuk makluman, kerjaya sebagai Jurutera Keselamatan Nuklear bukan untuk semua; ia memerlukan individu genius, berdedikasi tinggi dan memiliki pemikiran analisis yang tajam, di samping keberanian menghadapi cabaran keselamatan global yang kritikal.
Ringkasan AI
- Dr Nur Shahidah Abdul Rashid adalah satu-satunya Jurutera Keselamatan Nuklear Malaysia yang berkhidmat di Perancis
- Beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Pohang Sains dan Teknologi, Korea Selatan dalam Pengurusan Sisa Radioaktif
- Dr Nur Shahidah kini berkhidmat di Autorité de sûreté nucléaire et de radioprotection, autoriti nuklear Perancis
- Kepakarannya merangkumi pengendalian dan semakan lesen reaktor modular kecil dan termaju, serta analisis pencemaran radionuklid
- Beliau turut merangka pelan pengurusan keselamatan alam sekitar dan menyumbang dalam pengendalian lesen untuk repositori geologi sisa radioaktif