Universiti juga seharusnya cakna dengan aktiviti kemasyarakatan dan menggalakkan mahasiswa untuk turut serta dengan program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh universiti atau mana-mana NGO. Gambar kecil: Abd Razak.
Universiti juga seharusnya cakna dengan aktiviti kemasyarakatan dan menggalakkan mahasiswa untuk turut serta dengan program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh universiti atau mana-mana NGO. Gambar kecil: Abd Razak.

Dekati banduan demi menyelami masalah masyarakat

20 Aug 2024 07:30am

Setiap manusia melakukan kesalahan, namun yang melibatkan undang-undang sama ada jenayah atau sivil biasanya menyebabkan seseorang individu dijatuhkan hukuman bersalah atau tidak.

Namun, kesalahan yang dilakukan pada masa lampau banyak mengajar seseorang untuk berubah menjadi lebih baik dan bertingkah laku menurut norma-norma masyarakat.

Perjalanan hidup seorang bekas banduan dalam masyarakat dilihat agak sukar kerana stigma masyarakat yang terus menerus meletakkan kesalahan itu sebagai kekal dalam hidup mereka sedangkan setiap kesalahan itu boleh diperbaiki dan mereka, bekas banduan sepatutnya diterima oleh masyarakat sebagai orang baharu selepas mereka menjalani pemulihan akhlak selama bertahun-tahun di penjara.

Kehidupan di sebalik tirai besi tidak seindah khabar. Hidup terpenjara memerlukan kekuatan jiwa dan fizikal kerana melalui liku-liku hidup terhukum penuh dengan perasaan rasa bersalah dan keinginan untuk bebas sangat tinggi.

Namun, undang-undang di penjara lebih menekankan pembentukan jiwa dan tingkah laku yang selari dengan keperluan norma masyarakat.

Penghuni perlu mengikuti rutin harian yang agak tersusun dalam melatih mereka lebih berdisiplin serta membentuk jiwa agar menjadi manusia yang lebih baik.

Persoalan yang sering diutarakan oleh penghuni penjara dilihat berkisar tentang penerimaan masyarakat terhadap mereka setelah mereka bebas kelak. Saya sering diajukan dengan pertanyaan sebegini setiap kali bertemu dengan penghuni penjara dalam setiap sesi ceramah dan aktiviti di penjara.

Jiwa-jiwa yang perlu disantuni di penjara mengharapkan mereka boleh diterima kembali dalam kalangan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Namun penerimaan masyarakat yang tercalar disebabkan oleh kepercayaan mereka kepada bekas banduan sebelum ini dilihat terkesan sekiranya kembalinya bekas banduan ke dalam masyarakat diikuti dengan tingkah laku yang tidak selari dengan norma masyarakat.

Saya sering memberi ruang kepada para pelajar saya dalam program-program cakna masyarakat terutama menjalankan aktiviti di dalam penjara.

Ruang ini diberikan supaya pelajar-pelajar saya didedahkan dengan dunia nyata yang berlaku dalam masyarakat.

Ketika orang lain bebas melakukan pelbagai kegiatan di luar, terdapat segelintir ahli masyarakat yang terpenjara dan tersabit dengan kesalahan jenayah.

Pelajar-pelajar saya diberikan ruang yang luas untuk meneroka kehidupan dalam masyarakat terutama dalam meninjau pemasalahan yang berlaku dalam masyarakat yang diperhatikan kurang diberikan perhatian sewajarnya.

Pendedahan awal mahasiswa kepada isu-isu kemasyarakatan perlu dilakukan sejak mereka berada di institusi pengajian tinggi agar mahasiswa lahir menjadi lebihlebih peka dengan isu-isu kemasyarakatan.

Menyelami isu kemasyarakatan seharusnya memberi ruang kepada mahasiswa untuk membentuk jati diri dan dalam masa yang sama mereka dapat menjadi ahli masyarakat yang berguna kepada negara.

Universiti juga seharusnya cakna dengan aktiviti kemasyarakatan dan menggalakkan mahasiswa untuk turut serta dengan program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh universiti atau mana-mana badan bukan kerajaan (NGO).

Semakan semula silibus yang berkaitan dengan aktiviti kemasyarakatan perlu diselitkan dalam setiap kuliah agar mahasiswa didedahkan dengan masalah dalam masyarakat agar mereka bersedia untuk menjadi sebahagian ahli masyarakat selepas tamat pengajian kelak

Program-program kemasyarakatan anjuran universiti memang banyak memberi peluang kepada mahasiswa untuk mempersiapkan diri untuk menjalani kehidupan selepas tamat pengajian. Mereka bukan sahaja dapat mempraktikkan kerja-kerja kemasyarakatan di dalam kerjaya mereka malahan dapat menjadikan kerja-kerja membantu orang lain sebagai sebahagian daripada kehidupan.

Pendedahan sebegini amat bermakna kepada mahasiswa terutama kepada bakal guru yang berkemungkinan suatu hari nanti menghadapi masalah dalam membentuk masa depan remaja dan sekali gus dapat membantu murid-murid untuk membentuk keperibadian mulia dan dapat mencegah murid-murid daripada terjerumus dengan gejala-gejala yang tidak sihat.

Jiwa-jiwa yang perlu disantuni di penjara mengharapkan mereka boleh diterima kembali dalam kalangan masyarakat. (Gambar hiasan)
Jiwa-jiwa yang perlu disantuni di penjara mengharapkan mereka boleh diterima kembali dalam kalangan masyarakat. (Gambar hiasan)

Jabatan Penjara Malaysia mengambil pendekatan dengan menjadikan penjara sebagai Pusat Pembangunan Peradaban Budaya Kemanusian (CHCDC) dan memberi penekanan kepada sistem pemulihan berimpak tinggi bagi memulihkan banduan.

Penolong Komisioner Penjara, Ahmad Zulkarnain Abdul Khalid menegaskan pendekatan ini akan mengubah banduan kepada insan yang lebih beradab iaitu dengan menerapkan disiplin, kerohanian dan pendidikan.

“Program-program pemulihan yang telah disediakan di dalam penjara seperti Program Pendidikan dan Bimbingan, Program Halaqah bagi yang beragama islam, kelas lain-lain agama, Therapeutic Community dan program-program berbentuk kemahiran kebanyakannya tidak diketahui oleh masyarakat,” katanya.

Hanya masyarakat yang cakna dengan program rehabilitasi jabatan penjara sahaja akan faham tentang keperluan penekanan kepada kerohanian dalam membentuk semula banduan untuk menjadi ahli masyarakat yang baik.

“Jabatan Penjara juga telah mewujudkan program-program banduan bersama komuniti luar seperti Program Parol, Pembebasan Secara Lesen (PBSL), Rumah Perantaraan, Perintah Kehadiran Wajib (PKW) dan Corporate Smart Internship (CSI) iaitu banduan bekerja dengan syarikat luar sebelum dibebaskan sepenuhnya. Masyarakat seharusnya mendokong usaha Jabatan Penjara Malaysia dalam merealisasikan hasrat membentuk generasi yang berbudi pekerti mulia,” kata Ahmad Zulkarnain lagi.

Menurut Timbalan Penguasa Penjara Tn Mohd Sobrie Bin Ahmad Zuki, Jabatan Penjara Malaysia merupakan satu organisasi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN). Misi Jabatan Penjara Malaysia adalah untuk membentuk insan produktif melalui pemulihan efektif, persekitaran kondusif dan pengintegrasian startegik.

“Kita sering kali menerima kunjungan daripada mahasiswa untuk menjalankan aktiviti dan program di penjara, di mana mahasiswa didedahkan tentang keperluan dan konsep Jabatan Penjara Malaysia, yang pada masa kini tidak hanya tertumpu kepada menahan dan menghukum banduan semata-mata tetapi juga bertanggungjawab untuk memulih dan membentuk banduan agar menjadi insan yang berguna apabila kembali semula kepada masyarakat kelak,” katanya.

Rehabilitasi banduan di penjara bertujuan membentuk insan baru dengan kualiti akhlak sebagaimana yang diharapkan oleh masyarakat. Dengan sokongan masyarakat terhadap bekas banduan memberi ruang kepada mereka untuk berubah secara kekal dan menjadi ahli masyarakat yang baik.

Apabila banduan dibebaskan kelak, pihak Jabatan Penjara amat mengharapkan kepada masyarakat terutamanya ahli keluarga dan juga badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk memainkan peranan membantu bekas-bekas banduan dengan memberi kekuatan moral dan psikologi supaya mereka tidak berasa dipinggirkan agar tidak kembali terjebak semula dengan jenayah.

Namun, program cakna masyarakat yang melibatkan peningkatan penguasaan kemahiran di dalam kelas dan mempraktikkan dalam dunia sebenar perlu diambil kira dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja bijak namun dalam masa yang sama mampu menggunakan kemahiran yang telah dikuasai dalam membantu insan-insan yang memerlukan perhatian dalam masyarakat.

Jabatan Penjara Malaysia amat mengalu-alukan sebarang program mahasiswa di penjara dan amat teliti dalam memberikan kebenaran sekiranya program tersebut bersesuaian dengan keperluan mereka.

Program sebegini dapat menunjukkan kepada banduan yang masyarakat masih menerima dan tidak akan menyisihkan mereka setelah mereka dibebaskan kelak.

Maklumat Penulis

Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga, Universiti Malaya (UMFRDC), Dr Abd Razak Zakaria

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp