Dewan Perundingan Pelajar platform terbaik pemerkasaan mahasiswa suarakan pandangan
Dewan Perundingan Pelajar (DPP) adalah platform terbaik bagi pemimpin mahasiswa menyuarakan pandangan dan cadangan yang konstruktif demi menjaga kesejahteraan seluruh kampus.
Ia juga membuktikan proses demokrasi yang diamalkan negara berjalan baik dan lancar walaupun masih di peringkat institut pengajian tinggi (IPT).
Demi mengetengahkan segala isu serta perkara melibatkan warga kampus khususnya mahasiswa, sidang DPP Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan mesyuarat buat kali pertama bagi sidang akademik 2022/2023.
Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, Profesor Dr Azlinda Azman berkata, USM sangat memegang pada pemerkasaan mahasiswa seperti yang diutarakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
“Mesyuarat DPP adalah platform yang memberi peluang kepada mahasiswa untuk berbincang hal-hal dasar dunia mahasiswa dan isu lain dengan penuh hemah dan bijaksana.
“Usul-usul yang dibincangkan perlulah bersifat terbuka dan tidak mencemuh serta menjatuhkan satu sama lain.
“Saya berharap mahasiswa-mahasiswa ini terus menyokong antara satu sama lain untuk memacu institusi ini ke tahap yang lebih membanggakan,” ucapnya ketika merasmikan sidang DPP USM di Dewan Persidangan Universiti, USM, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr. Normala Abdul Wahid; pegawai-pegawai BHEPA kampus utama USM serta pemerhati dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT); Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Dalam pada itu, Azlinda turut menyatakan DPP merupakan satu platform terbuka di mana ahli-ahlinya hendaklah membawa usul yang menjaga kebajikan semua mahasiswa termasuklah golongan kurang berkemampuan (B40) dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Beliau juga menzahirkan BHEPA sentiasa menghargai bakat kepimpinan dalam kalangan mahasiswa USM yang bukan sahaja terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), malah di persatuan anak negeri, persatuan-persatuan pelajar, majlis perwakilan desasiswa dan lain-lain dalam menaikkan nama USM.
Sementara itu, Azlinda memaklumkan, MPP USM diberi mandat oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menganjurkan program Robocon 2023 dan Debat Akhir Piala Perdana Menteri sebagai salah satu hasrat untuk pemerkasaan mahasiswa dalam penganjuran program-program berimpak tinggi sebegini.