Veveonah
Veveonah

‘Dipanggil nerd sebab suka belajar’

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
10 Feb 2025 12:00pm

Masalah liputan internet yang terhad tidak mematahkan semangat seorang pelajar apabila sanggup tidur di atas pokok untuk menjalani peperiksaan secara dalam talian.

Tindakan bekas pelajar jurusan Asasi Sains dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), itu bukanlah untuk meraih perhatian, namun ia mencerminkan dedikasinya terhadap pendidikan.

Gadis berasal dari Kampung Sapatalang Pitas itu kini sedang menjalani pengajian perubatan di Management and Science University (MSU), Shah Alam sejak 1 Oktober lalu.

Veveonah (kanan) bersama rakan-rakan sepengajiannya di MSU Shah Alam
Veveonah (kanan) bersama rakan-rakan sepengajiannya di MSU Shah Alam

Ditanya mengenai pengalaman belajarnya, Veveonah Mosibin,23, mengakui dirinya pelajar nerd (skema) ketika di bangku sekolah kerana terlalu suka belajar.

“Saya dipanggil nerd kerana terlalu suka belajar dan kurang aktif dengan sukan. Saya dengar nasihat mama bahawa pelajaran yang mampu mengubah kehidupan selain pengalaman.

“Bagaimanapun apabila saya sudah masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), saya terdedah dengan lebih banyak pengetahuan.

“Ketika itu, barulah minda terbuka. Banyak pengetahuan yang saya dapat daripada perkongsian dan mula aktif dengan kokurikulum,” katanya secara eksklusif bersama Sinar Bestari.

Artikel Berkaitan:

Veveonah menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sains Marin di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan meneruskan pembelajarannya dalam program Perubatan dan Pembedahan di Management and Science University (MSU).

Veveonah kini mengejar impian sebagai doktor perubatan
Veveonah kini mengejar impian sebagai doktor perubatan

Sains dapat A, cikgu belanja masuk zoo

Sudah menjadi tanggungjawab seorang guru untuk memastikan anak didikannya berjaya dan mendapat keputusan yang cemerlang bagi setiap mata pelajaran.

Kongsi Veveonah, tidak dilupakan juga guru subjek Sainsnya yang sanggup membawa pelajar ke zoo jika mereka berjaya memperoleh A bagi subjek itu.

Oleh kerana itu, Veveonah sanggup belajar bersungguh-sungguh kerana dia tidak pernah ke zoo.

“Saya minat subjek Sains sebab Cikgu Morissa janji, siapa yang dapat A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), dia akan bawa kami ke zoo.

“Tawaran daripada Cikgu Morissa itu terus bakar semangat untuk belajar nersungguh-sungguh dan apabila keputusan UPSR keluar, saya antara pelajar yang dapat A,” katanya.

Itu pengalaman yang tidak penah dilupakan Veveonah kerana ia merupakan kali pertama dia dibawa ke zoo disebabkan kekangan kewangan keluarga.

Veveonah memberitahu, dia perlu berjalan kaki sejauh 500 meter setiap hari untuk ke sekolah rendah.

“Nasib baik masa itu rumah sewa keluarga saya berdekatan dengan sekolah. Tidaklah terasa penat sangat,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp