'Buatlah latihan sehingga tiada satu soalan pun yang kita tidak pernah jawab' - Rahsia pelajar raih 10A+ SPM 2014
"Kejayaan tidak datang bergolek. Kita kena berusaha bersungguh-sungguh barulah dapat hasil yang berbaloi," begitulah kata alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, Klang, Amir Rosyadie.
Dia yang memperoleh 10A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2014 berkata, untuk mendapat straight A+ bukanlah perkara mudah.
Dalam akaun Facebooknya, Amir Rosyadie menceritakan bagaimana dia melalui perjalanan pembelajaran yang cukup sukar sebelum mendapat keputusan luar biasa.
Jom ikuti rahsia kejayaan pelajar cemerlang ini seperti dikongsi dalam platform media sosial berkenaan.
*****
Setiap tahun, pasti ramai pelajar SPM yang memasang niat untuk berjaya dalam peperiksaan itu tidak kira yang baru masuk ke Tingkatan Lima atau Tingkatan Empat.
Saya dahulu pun begitu, bermula dari Tingkatan Empat lagi sudah memasang azam untuk menjadi pelajar pertama yang skor straight A+ di SMK Meru Klang.
Pun begitu, perjalanan itu cukup sukar. Untuk mendapatkan straight A sahaja pun mencabar apatah lagi dengan A+.
Alhamdulillah, ALLAH berikan kekuatan untuk saya teruskan pembelajaran sehingga mencapai straight A+ pada SPM 2014 iaitu 10A+.
Sejujurnya, saya bukanlah pelajar genius seperti mana yang diperkatakan orang.
Bagi yang mengenali secara peribadi, saya ini insan biasa-biasa sahaja.
Tetapi saya yakin, dengan azam yang kuat, kita mampu buat apa sahaja melalui pendekatan yang betul dan berkesan.
Saya lihat juga di Google, ramai yang berkongsi tip untuk mendapat skor yang cemerlang dalam SPM.
Nampaknya lebih kurang sama sahaja pendekatannya iaitu Doa (D), Usaha (U), Ikhtiar (I), Tawakal (T) atau singkatannya D.U.I.T., itu saya setuju.
Saya kongsi juga tip ini kepada yang serius untuk mendapat skor tinggi, straight A dan straight A+.
1) Ketika di awal Tingkatan Lima, saya bertanya kepada seorang senior yang mendapat 10A+ dan berasal dari Sekolah Tinggi Klang.
Apa tip dia?
Dia kata buatlah seberapa banyak soalan latihan yang boleh. Sekiranya mampu belilah buku tahun lepas SPM, Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta carilah set-set soalan percubaan tahun lepas negeri seluruh Malaysia.
Sekiranya tidak mampu, cuba tanya cikgu atau rakan dan pinjam daripada mereka.
Kalau mahu ‘power’ lagi, senior saya itu telah menghabiskan kesemua buku soalan yang ada di kedai-kedai buku.
Namakan apa sahaja terbitan: Pelangi, Sasbadi, Cerdik, semuanya telah diselesaikannya! Patut pun boleh skor.
Kemudian, sentiasa disiplinkan diri untuk buat soalan latihan dan tetapkan begini:
1) Aku mahu buat 10 soalan Matematik setiap hari.
2) Aku mahu buat satu set soalan Fizik Kertas 1 setiap hari.
3) Aku mahu habiskan bab 5 Kimia hari ini juga.
Ia bergantung kepada cara belajar masing-masing kerana cara setiap orang berbeza, tapi prinsipnya sama iaitu
‘Buatlah soalan sehingga tiada satu soalan pun yang kita tidak pernah jawab sehingga dalam peperiksaan atau ujian pun, bila dilihat soalannya, kita tahu cikgu copy and paste soalan itu dari mana’
Begitulah dahsyatnya level orang yang mendapat straigh A+ ini.
Buat latihan banyak-banyak. Latihan teras keyakinan.
2) Dari segi stamina, memang tidak ramai yang mampu untuk belajar lama. Paling-paling pun sejam mulalah main telefon, mengantuk, lapar dan sebagainya.
Sejujurnya dahulu pun saya begitu tetapi dengan disiplin, bermula dari belajar satu jam sehari, saya mampu bertahan lima kepada enam jam belajar sehari.
Caranya ikut masing-masing tetapi apa yang saya buat adalah tetapkan target. Contohnya kena habiskan 10 muka surat dan baru dapat makan serta tidur.
Letak telefon jauh-jauh masa belajar. Time belajar, belajar. Kena dapatkan mood belajar, baru kita akan rasa obses dengan buku.
3) Pembelajaran kendiri sangat penting. Kalau kita hanya ikut guru mengajar di kelas, kita tidak akan capai target yang tinggi.
Kita perlu ambil inisiatif untuk belajar sendiri. Bagaimana? Banyak cara juga ikut masing-masing.
Teknik saya mudah sahaja:
a) Bila buat latihan, mulakan dengan meniru jawapan belakang. Fahamkan flow/konsep/skema jawapan dahulu. Apabila sudah selesa dan tidak rasa kekok dengan soalan-soalan itu, kemudian baru cabar diri untuk buat latihan sendiri.
b) Sentiasa belajar lebih untuk lebih memahami. Ini selalu digunakan dalam subjek Sains seperti Fizik dan Kimia. Kadang-kala apabila kita belajar secara permukaan sahaja, kita susah nak faham. Tetapi apabila kita belajar mendalam, kita akan nampak gambaran keseluruhan untuk sesuatu topik itu.
Jadi gunakan Youtube atau Google untuk ambil masa cari topik yang kita sedang belajar, insya-ALLAH kita pun jadi makin seronok bila tahu banyak benda lebih daripada orang lain.
4)Dari segi spiritual dan keagamaan, sentiasalah berdoa pada ALLAH, hormat ibu bapa, kukuhkan akhlak kita dengan rakan-rakan dan guru-guru.
Elakkan berdendam dengan orang lain kerana ia akan menyebabkan hidup tidak tenang.
Kalau hidup tidak tenang, bagaimana ingin belajar dengan tenang?
Motivati diri melalui doa, solat, baca al-Quran insya-ALLAH membantu.
5) Motivasikan diri selalu. Bila bangun pagi, tetapkan dalam minda apa yang ingin dilakukan sebelum pergi ke sekolah
Contoh, saya nak berjaya, saya nak capai straight A+!
Bayangkan kertas keputusan peperiksaan dan apa yang anda nampak. Gagal atau cemerlang?
Dengan adanya visi yang jelas dan disiplin baik, insya-ALLAH tujuh jam belajar pun tidak ada masalah. Sentiasalah improve diri sendiri.
Tanya diri, adakah saya belajar sesuatu yang baru hari ini!
Kesimpulannya, saya tahu SPM hanyalah peperiksaan biasa bagi yang telah melepasinya.
Namun ia adalah kenangan yang terbaik untuk pelajar Tingkatan Empat dan Lima buktikan kepada keluarga yang mereka berjaya membesarkan kita.
Saya tahu ada juga dalam kalangan kita yang tidak ada masa belajar kerana susah dengan bebanan keluarga, masalah peribadi dan isu-isu kesihatan.
Hadapilah masalah itu dengan baik kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan.