Dua mahasiswa UiTM rangkul pencapaian terbaik ACCA
Tentu anda masih ingat dengan nama Danish Zafran Bazam, Julia Qiestyna Abu Zar dan Safwa Zamri.
Mereka yang merupakan mahasiswa Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah mencipta kejayaan luar biasa apabila berjaya mendapat markah tertinggi di Malaysia dan dunia dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun atau The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan The Association of Chartered Certified Accountants Foundation in Accountancy (ACCA FIA) pada tahun 2023.
Terbaharu, UiTM sekali lagi mengharumkan negara apabila dua penuntutnya, Nur Ilhan Nurina Mohd Oslan dan Muhammad Fawwaz Mohammad Masrin mendapat keputusan yang begitu cemerlang dalam ACCA dan ACCA FIA yang berlangsung Mac 2024.
Nur Ilhan Nurina dari UiTM Shah Alam, Selangor meraih tempat pertama di Malaysia dan kedua di dunia dalam kertas Audit and Assurance (AA) sekali gus dinobat Top ACCA Prize.
Manakala Muhammad Fawwaz dari UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah memperoleh tempat pertama dan kedua dunia seterusnya mendapat pengiktirafan Top ACCA FIA Prize bagi kertas Management Information (MA1).
Menurut UiTM, kejayaan konsisten mahasiswa mereka telah memberikan impak positif, motivasi dan inspirasi kepada rakan seperjuangan, keluarga, fakulti, UiTM dan rakyat Malaysia secara amnya.
"Sebagai fakulti yang terbesar di Malaysia dalam bidang perakaunan, mereka (Fakulti Perakaunan) sememangnya mendukung tanggungjawab yang signifikan.
“Syukur alhamdulillah, setiap tahun fakulti ini berjaya melahirkan lebih kurang 50 peratus graduan perakaunan dalam kalangan semua institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) negara,” katanya.
Kata kenyataan itu lagi, Fakulti Perakaunan adalah salah satu fakulti terawal di UiTM yang bermatlamat menghasilkan lebih ramai akauntan bertauliah.
"Ketika ini fakulti mengorak langkah bagi mencapai aspirasi kerajaan untuk meningkatkan jumlah graduan profesional dalam bidang perakaunan negara kepada 60,000 orang menjelang 2030.
"Justeru, pihak fakulti melebarluaskan peluang pengajian profesional perakaunan bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kedua-dua kampus cawangan iaitu Tapah dan Dungun, Terengganu selain di Shah Alam," jelasnya.
Akhir sekali, Fakulti Perakaunan melahirkan hasrat dan akan sentiasa berusaha menghasilkan graduan perakaunan yang sedia pasaran dengan penawaran program akademik berkualiti dan diiktiraf pelbagai badan profesional dalam dan luar negara termasuk Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA), ACCA, The Chartered Institute of Management Accountants (CIMA), Certified Public Accountants (CPA, Australia) dan Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW),” menurut kenyataan itu.