No Image Caption

Dua pelajar perakaunan UiTM di ranking lima terbaik dunia peperiksaan ACCA

26 Oct 2024 03:30pm

Dua pelajar Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya mengharumkan nama negara apabila meraih kedudukan lima terbaik dunia dalam peperiksaan The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).

Fakulti Perakaunan UiTM dalam satu kenyataan memaklumkan Danish Zafran Bazam memperoleh tempat kedua di dunia bagi kertas Advanced Financial Management (AFM), manakala Amin Zulharis meraih tempat keempat global dalam kertas Strategic Business Reporting (SBR).

Kejayaan Danish mengulangi kejayaan yang dilakarnya sebelum ini apabila dia diiktiraf sebagai pemenang anugerah bagi kertas Performance Management (PM) pada Mac 2023.

Ditanya rahsia kejayaannya, Danish berkata, ia pada keyakinan diri yang tinggi, usaha konsisten dan kesediaan untuk bertanya kepada pensyarah.

"Perjalanan ini bukanlah tanpa cabaran tetapi saya sentiasa ingat bahawa menyambung pengajian ACCA adalah satu anugerah,” kata Danish.

Sementara itu, Amin, yang memulakan pengajian ACCA selepas SPM melalui program Foundation in Accountancy (FIA), mengakui bahawa cabaran terbesar adalah melawan rasa malas.

“Kos tinggi untuk mengikuti kursus ACCA memberi saya motivasi tambahan untuk terus berusaha,” jelasnya.

Kejayaan luar biasa yang dicapai oleh kedua-dua pelajar membuktikan bahawa melalui dedikasi dan usaha yang konsisten, impian untuk mencapai kecemerlangan akademik dapat direalisasikan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp