UTM lonjak 76 anak tangga dalam Ranking Universiti Asia Times Higher Education 2024.
UTM lonjak 76 anak tangga dalam Ranking Universiti Asia Times Higher Education 2024.

Dulu kedudukan 161 sekarang 85, pencapaian UTM begitu luar biasa!

31 May 2024 12:07pm
A
A
A

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mempamerkan kecemerlangan luar biasa apabila telah melonjak 76 anak tangga dalam Ranking Universiti Asia Times Higher Education 2024.

Difahamkan, lonjakan itu berlaku dari tangga 161 pada tahun lepas kepada kedudukan ke-85 tahun ini.

Menurut Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail, peningkatan itu merupakan pencapaian signifikan bagi universiti tersebut.

Katanya, pengiktirafan diberikan sekali gus menaikkan reputasi UTM sebagai antara institusi pendidikan tinggi awam terkemuka negara dan juga Asia dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.

Ujarnya, penilaian penarafan bagi 2024 berpandukan kepada pengukuran lima indikator utama iaitu kualiti penyelidikan melibatkan 30 peratus, persekitaran penyelidikan (28 peratus); pengajaran (24.5 peratus), industri (10 peratus) dan kesohoran global (7.5 peratus).

"Bagi edisi 2024, UTM telah menunjukkan peningkatan membanggakan dalam aspek kualiti penyelidikan, pengajaran, industri dan kesohoran global.

"Berdasarkan analisa dalaman UTM, output dan impak penyelidikan yang dihasilkan melalui penerbitan ilmiah dan juga penghasilan inovasi merupakan antara faktor menyumbang kepada peningkatan penarafan ini," tuturnya.

Sejajar dengan aspirasi sebagai universiti penyelidikan, Ahmad Fauzi berkata, UTM memberi penekanan khusus terhadap penyelidikan sebagai satu fokus utama yang dilaksanakan menerusi Pelan Global Universiti (2012-2020) dan enVision UTM 2025 (2021-2025).

Artikel Berkaitan:

"Susulan pencapaian penarafan universiti ini, ingin ditegaskan yang warga universiti perlu terus melaksanakan amanah sebaik-baiknya dalam memacu kecemerlangan akademik dan penyelidikan berpaksikan kualiti dan impak serta tidak menjadikan ranking sebagai matlamat utama.

"UTM harus bertindak sebagai pembangun negara, industri dan komuniti serta mencipta keunggulan di mata dunia,” jelas beliau lagi.

Ranking Universiti Asia Times Higher Education 2024 merupakan penilaian komprehensif yang melibatkan 739 universiti merentas 32 negara Asia.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok