EcoPhoton UiTM pamer kereta solar rekaan terbaharu
Kumpulan lumba solar EcoPhoton Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor mempamerkan reka bentuk kereta solar baharu pada International Engineering Student Mega Carnival (i-ESMeC) 2024 di universiti itu, Khamis lalu.
Kereta solar dikenali Keris dan dihasilkan pelajar kejuruteraan UiTM adalah rekaan edisi kelima mereka yang akan dipertandingkan di Bridgestone World Solar Challenge (BWSC) kelak.
Penasihat Program i-ESMeC 2024, Dr Miradatul Najwa Muhd Rodhi berkata, penyertaan aktiviti sebegini memberi pengalaman jaringan kerjaya yang sangat bermanfaat kepada pelajar kejuruteraan UiTM.
“Jalinan kerjasama antara pelajar kejuruteraan dan golongan profesional membuka persepsi baharu terhadap bidang kejuruteraan sebagai kerjaya yang fleksibel,“ ujar beliau.
Terdahulu, i-ESMeC adalah program bertujuan memperlihatkan bakat pelajar kejuruteraan dan menjalinkan hubungan industri dengan golongan profesional luar universiti.
Manakala BWSC adalah perlumbaan kereta solar merentas pedalaman benua Australia yang dianjurkan syarikat pembuatan Bridgestone dan disertai pelumba seluruh dunia.
Berkongsi tentang keistimewaan Keris, ia dikatakan mampu mencapai kelajuan tertinggi sehingga 120 kilometer per jam (km/j) dan kelajuan pelayaran sehingga 78 km/j.
Kereta solar itu diperbuat daripada gentian karbon dan menjadikan berat kenderaan tersebut hanya 200 kilogram (kg) sahaja untuk mengurangkan kegunaan elektrik semasa perlumbaan.
Reka bentuk keris diubah suai supaya lebih aerodinamik dan penyerapan serta penggunaan tenaga menjadi lebih efisien.
Untuk rekod, EcoPhoton pernah menyertai pertandingan BWSC sekali gus mewakili Malaysia pada 2015, 2017 dan 2019.