Majlis perasmian ESG 2024.
Majlis perasmian ESG 2024.

ESG 2024, fokus UMT terapkan nilai cakna kelestarian alam sekitar

26 Aug 2024 08:00pm

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) memberi fokus utama kepada penerapan nilai Kelestarian Alam Sekitar, Sosial serta Tadbir Urus (ESG) dalam kalangan mahasiswa dengan menganjurkan program ESG Global Young Leaders Summit 2024 (ESG 2024), baru-baru ini.

Konsep ESG memberi fokus kepada keseimbangan aktiviti pembangunan dengan kemampanan alam sekitar dan ekosistem yang kini merupakan keperluan mendesak dalam menangani krisis alam sekitar.

ESG 2024 turut dilengkapkan dengan sesi forum bertajuk ‘Cultivating ESG Talent In Young Leaders’ dan menampilkan ahli panel yang menarik antaranya adalah Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Profesor Madya Dr Maizah Mohd Abdullah, Pengarah Eksekutif Aquawalk Sdn Bhd, Daryl Foong, serta wartawan alam sekitar, Brian Yong.

Program yang berlangsung selama empat hari bermula pada 22 hingga 25 Ogos 2024 itu berjaya menghimpunkan seramai 200 orang mahasiswa terdiri daripada kepimpinan mahasiswa, mahasiswa menjalankan projek kelestarian alam dan mahasiswa antarabangsa.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud semasa upacara perasmian ESG 2024, ancaman terhadap kelestarian alam, pemanasan global, perubahan iklim, pencemaran dan kemerosotan sumber biodiversiti saban hari dibicarakan, namun perkara ini semakin mengancam dunia.

“Secara relatifnya, Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG diperluaskan melalui program-program peringkat kebangsaan melalui semua universiti awam bagi memberi pendedahan kepada semua pelajar untuk sama-sama bangkit menanggani isu kelestarian alam”, tambah beliau.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Profesor Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod menzahirkan rasa syukur dengan penglibatan dari wakil Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), rakan-rakan strategik industri, ahli panel jemputan dan pegawai pelaksana program yang bertungkus-lumus dalam menjayakan program ESG 2024.

“Kerjasama dan sumbangan daripada pihak kerajaan dan sektor korporat merupakan komitmen yang akan memberikan impak lebih luas kepada masyarakat serta pelajar dalam mencapai matlamat pemulihan alam sekitar global,” katanya.

Sehubungan itu, pihak KPT menyediakan ganjaran hebat kepada para peserta yang cemerlang dalam program ESG 2024 sebagai insentif untuk mempromosikan ESG dengan lebih meluas.

Resolusi diperolehi melalui program itu akan disampaikan kepada kerajaan berhubung isu dan strategi pelaksanaan ESG dalam kalangan generasi muda khususnya di institusi pengajian tinggi, sekali gus menjadi manifesto generasi muda kepada isu kemampanan yang lebih berkesan pada masa akan datang.

Mustapha melawat pameran yang disediakan oleh peserta.
Mustapha melawat pameran yang disediakan oleh peserta.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp