(Ilustrasi AI)
(Ilustrasi AI)

FAIE MMU bakal memacu revolusi kecerdasan buatan di Malaysia

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
07 Mar 2025 02:30pm

Dalam era digital semakin berkembang pesat, kecerdasan buatan (AI) menjadi tulang belakang kepada pelbagai industri, daripada perubatan hingga kejuruteraan.

Teknologi ini bukan sahaja mengubah cara manusia bekerja tetapi juga membuka peluang baharu dalam inovasi dan penyelesaian masalah kompleks. Melihat kepada keperluan ini, Universiti Multimedia (MMU) mengambil inisiatif dengan menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) sekali gus bakal menjadi pemacu utama dalam melahirkan tenaga pakar AI di Malaysia.

Tahukah anda semua, FAIE merupakan transformasi daripada Fakulti Kejuruteraan (FOE) MMU, selari dengan keperluan industri yang semakin bergantung kepada teknologi AI.

Presiden MMU, Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su'ud berkata, dengan langkah strategik ini, universiti berkenaan berusaha menyediakan platform pendidikan yang lebih holistik, menggabungkan teori dan aplikasi praktikal dalam bidang AI serta kejuruteraan.

Menurut beliau, penubuhan FAIE bukan sekadar perubahan nama tetapi komitmen jangka panjang dalam memperkukuh pendidikan dan penyelidikan AI.

Fakulti ini bakal menjadi pusat penyelidikan yang menghubungkan akademia dengan industri sekali gus memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam perlumbaan global menuju masa depan digital.

Mazliham (tengah) sewaktu sesi sembang santai bersama petugas media di sebuah hotel di Putrajaya pada Khamis.
Mazliham (tengah) sewaktu sesi sembang santai bersama petugas media di sebuah hotel di Putrajaya pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Program pengajian berasaskan AI

Sebagai institusi yang sentiasa berinovasi, Mazliham berkata, FAIE menawarkan pelbagai program yang memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan, termasuk Sarjana Muda Sains (Kepujian) (AI Gunaan) – program baharu selama tiga tahun yang bakal dimulakan pada pengambilan Julai 2025.

"Selain itu, MMU menawarkan Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) (Kecerdasan Buatan), Sarjana Muda Sains (Kepujian) (Robotik Pintar), Sarjana Sains Komputer (ODL) dan Sarjana Teknologi Maklumat (AI & Keselamatan Siber)," katanya sewaktu sidang media dan majlis berbuka puasa di Putrajaya pada Khamis.

Dalam perkongsian itu, Mazliham berkata, FAIE akan dilengkapi dengan makmal penyelidikan berteknologi tinggi, menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi pelajar dan penyelidik.

"Dengan fasiliti ini, MMU bukan sahaja menekankan pembelajaran teori tetapi juga menanam budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan pelajar," katanya.

Beliau juga berkata, sebagai peneraju dalam bidang kecerdasan buatan, FAIE bukan sahaja menawarkan pendidikan yang relevan dengan kehendak industri tetapi turut membentuk tenaga kerja masa hadapan yang mampu membawa perubahan dalam dunia teknologi.

"Dengan pengambilan baharu yang dibuka untuk sesi Mac/April 2025, MMU mengalu-alukan lebih ramai pelajar untuk menyertai fakulti ini dan menjadi sebahagian daripada revolusi digital yang sedang berkembang pesat.

"Bagi pelajar yang bercita-cita untuk mendalami dunia AI dan kejuruteraan, FAIE adalah platform terbaik untuk merealisasikan impian mereka," katanya.

YUM bantu pelajar

Sementara itu, komitmen MMU terhadap kecemerlangan akademik tidak terhenti setakat penyediaan program pengajian sahaja.

Melalui Yayasan Universiti Multimedia (YUM), pelbagai bentuk bantuan kewangan dan biasiswa ditawarkan kepada pelajar yang layak termasuk:

- Biasiswa Ibnu Haitham (ditawarkan kepada pelajar Muslim daripada golongan asnaf fakir dan miskin yang menunjukkan prestasi akademik cemerlang).

- Biasiswa Jawhar (khusus untuk pelajar daripada keluarga B40 bagi menampung kos pengajian dan sara hidup).

- Biasiswa MMU Merit, MMU President’s Scholarship & MMU Talent Scholarship (untuk pelajar yang mencapai kecemerlangan akademik dan menunjukkan bakat dalam bidang tertentu.

- Biasiswa Antarabangsa (untuk menarik pelajar berbakat dari seluruh dunia menyertai MMU).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp