Ekonomi kreatif juga menawarkan peluang pekerjaan yang luas bagi rakyat Malaysia terutama dalam sektor teknologi dan digital. Gambar kecil: Omar
Ekonomi kreatif juga menawarkan peluang pekerjaan yang luas bagi rakyat Malaysia terutama dalam sektor teknologi dan digital. Gambar kecil: Omar

Memacu pertumbuhan ekonomi kreatif di Malaysia

18 Feb 2025 03:50pm

Malaysia kini semakin memberi tumpuan kepada ekonomi kreatif sebagai salah satu enjin pertumbuhan ekonomi negara, dengan media sosial muncul sebagai platform utama dalam memacu perkembangan industri ini.

Ekonomi kreatif merangkumi pelbagai sektor seperti seni visual, muzik, filem, animasi, permainan digital, dan kandungan media digital yang kesemuanya berpotensi besar untuk menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Selain daripada menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi secara langsung, ekonomi kreatif juga menawarkan peluang pekerjaan yang luas bagi rakyat Malaysia terutama dalam sektor teknologi dan digital.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyatakan bahawa peranan media sosial dalam mengembangkan ekonomi kreatif adalah kritikal dalam era digitalisasi dan globalisasi masa kini.

Media sosial bukan sahaja berfungsi sebagai platform hiburan semata-mata tetapi juga menjadi alat penting bagi pencipta kandungan tempatan untuk memasarkan karya mereka kepada audiens global.

Hal ini sejajar dengan pendekatan whole-of-nation approach yang mengajak pelbagai pihak termasuk kerajaan, sektor swasta dan masyarakat untuk berganding bahu dalam membangunkan sektor ekonomi kreatif di Malaysia.

Platform media sosial seperti Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook kini membuka peluang yang luas bagi golongan muda di Malaysia untuk menonjolkan bakat serta berkongsi hasil karya kreatif mereka kepada audiens yang lebih besar.

Melalui media sosial, pencipta kandungan dapat membina jaringan pengikut yang setia serta memperkukuhkan jenama peribadi dan produk mereka.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Interaksi langsung dengan pengikut membolehkan mereka mendapatkan maklum balas yang cepat dan berterusan seterusnya mempertingkatkan kualiti kandungan dihasilkan.

Penggunaan media sosial sebagai alat pemasaran juga memudahkan akses kepada peluang pendapatan tambahan melalui pelbagai kaedah seperti penajaan, pemasaran gabungan (affiliate marketing) dan langganan berbayar.

Bagi pencipta kandungan popular, media sosial berfungsi sebagai saluran untuk memperoleh pendapatan yang stabil, dengan tawaran kerjasama komersial daripada syarikat besar dan jenama yang ingin menaja mereka sebagai duta produk.

Melalui media sosial, pencipta kandungan boleh mencapai jangkauan audiens lebih luas tanpa memerlukan kos pengiklanan yang tinggi sekali gus meningkatkan daya saing ekonomi kreatif Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa.

Namun, kebangkitan ekonomi gig yang kini semakin dominan dalam kalangan pencipta kandungan, membawa transformasi besar kepada pasaran kerja dan kewangan mereka.

No Image Caption

Pencipta kandungan kini boleh bekerja secara bebas tanpa terikat pada pekerjaan tradisional atau waktu kerja yang tetap, memberi mereka kebebasan untuk memilih projek dan menyesuaikan masa kerja mengikut keperluan peribadi.

Bagi sesetengah pihak, ini memberi peluang untuk bekerja dalam persekitaran yang lebih dinamik dan fleksibel, yang mampu menyokong gaya hidup yang diinginkan.

Namun, terdapat cabaran besar dalam memastikan pendapatan yang stabil serta akses kepada jaminan sosial seperti KWSP dan SOCSO.

Ramai pencipta kandungan yang bekerja secara bebas tidak mendapat manfaat jaminan sosial yang sama seperti pekerja dalam sektor tradisional, yang menimbulkan risiko ketidakstabilan kewangan.

Bagi menangani cabaran ini, kerajaan disarankan untuk memperkenalkan rangka kerja yang lebih kukuh dalam menyokong ekonomi gig dan pekerja bebas bagi memastikan keselamatan sosial golongan ini.

Langkah-langkah seperti memperluaskan caruman KWSP dan SOCSO kepada pekerja bebas dan golongan gig akan memberi jaminan keselamatan yang lebih baik kepada mereka yang ingin menjadikan penciptaan kandungan sebagai sumber pendapatan utama.

Walaupun media sosial membawa pelbagai peluang kepada ekonomi kreatif, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi antaranya isu hak cipta, penyalahgunaan kandungan dan ketidakstabilan pendapatan bagi pencipta kandungan.

Dalam konteks ini, kerajaan telah mengambil beberapa langkah seperti memperkenalkan program Dana Kandungan Digital (DKD) yang menyediakan dana dan sokongan kepada mereka yang berminat untuk menceburi industri kreatif.

Namun, usaha yang lebih menyeluruh perlu dilakukan terutamanya dalam aspek perlindungan hak cipta.

Undang-undang hak cipta yang lebih ketat diperlukan bagi melindungi hasil karya pencipta kandungan daripada dicuri atau dimanipulasi tanpa kebenaran.

No Image Caption

Kerajaan juga perlu meningkatkan usaha dalam memberikan pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menghormati hak cipta serta menghargai karya pencipta kandungan tempatan.

Di samping itu, untuk memupuk bakat dan kemahiran dalam ekonomi kreatif, pendidikan berkaitan media sosial dan penghasilan kandungan perlu diperkasa termasuk dengan menyediakan kursus pemasaran digital, penyuntingan video, pengurusan hak cipta dan juga penggunaan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dan realiti maya (VR).

Langkah ini penting untuk memastikan pencipta kandungan Malaysia lebih bersedia untuk menghadapi persaingan di peringkat antarabangsa.

Media sosial juga memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan sektor perniagaan lain terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kini menggunakan platform ini untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka kepada audiens yang lebih luas.

Kandungan kreatif yang menarik dapat meningkatkan penglibatan pengguna serta membantu menarik pelanggan baru, yang seterusnya menyokong perkembangan sektor ekonomi secara menyeluruh.

Bagi PKS yang mungkin mempunyai sumber yang terhad untuk pengiklanan tradisional, media sosial menawarkan alternatif yang lebih kos efektif dan lebih mampu menarik perhatian pengguna muda.

Dengan adanya sokongan dan kerjasama antara pencipta kandungan dan sektor perniagaan, Malaysia dapat membina ekosistem ekonomi kreatif yang mampan dan lebih inklusif.

Selain itu, kandungan kreatif juga membantu memupuk kesedaran terhadap budaya dan identiti tempatan, yang boleh menarik minat pelancong serta pelabur antarabangsa ke Malaysia.

Secara keseluruhannya, media sosial mempunyai peranan yang amat penting dalam memacu ekonomi kreatif di Malaysia. Dengan sokongan daripada kerajaan, sektor swasta dan masyarakat, Malaysia berpotensi untuk muncul sebagai pemain utama dalam industri kreatif di rantau Asia Tenggara.

Kerjasama antara semua pihak perlu diwujudkan untuk menangani cabaran yang ada sekali gus merealisasikan potensi penuh ekonomi kreatif negara melalui media sosial.

No Image Caption

Melalui pelan tindakan yang komprehensif, bukan sahaja dapat memperluaskan lagi sektor ekonomi kreatif tetapi juga mampu memperkukuhkan daya saing Malaysia di arena global.

Dalam era di mana digitalisasi semakin pesat berkembang, pengukuhan sektor ekonomi kreatif akan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara yang lebih inklusif dan berdaya saing.

Maklumat Penulis:

1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Omar Mokhtar

2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial & Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373), UMT, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp