Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi penubuhan fakulti itu selari dengan perkembangan teknologi termasuk AI. (Gambar hiasan)
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi penubuhan fakulti itu selari dengan perkembangan teknologi termasuk AI. (Gambar hiasan)

Fakulti AI UTM bakal dirasmikan 3 Mei nanti

03 Apr 2024 05:28pm
A
A
A

Penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 Mei depan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, kerajaan sebelum ini memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi penubuhan fakulti itu selari dengan perkembangan teknologi termasuk AI.

"Buat masa ini, Kementerian Kewangan memberikan peruntukan awal dan fakulti itu sedang diperbaiki dan diubah suai...peralatan berkaitan juga sedang dilengkapkan di fakulti ini," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pad Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Seri Profesor Dr Awang Sariyan yang ingin mengetahui perkembangan terkini mengenai penubuhan Fakulti AI.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, keputusan untuk menutup atau mengubah suai fakulti mengikut perkembangan semasa berdasarkan kebolehpasaran graduan.

"Kementerian akan menilai fakulti mengikut indikator berkaitan kebolehpasaran graduan, bila kebolehpasaran graduan di bawah 30 peratus, memang fakulti itu terpaksa diberhentikan atau diubah suai supaya mengikut keperluan industri.

"Kita akan pastikan pelajar di semua fakulti dapat mengikuti kursus yang didedahkan dengan teknologi baharu terutamanya AI," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Hussin Ismail yang ingin mengetahui sama ada terdapat kesan terhadap kursus sedia ada di insitusi pengajian tinggi disebabkan perkembangan AI dan langkah diambil kementerian. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok