Pelajar-pelajar UTM pulang ke kampung halaman masing-masing pada malam Khamis.
Pelajar-pelajar UTM pulang ke kampung halaman masing-masing pada malam Khamis.

UTM sedia 19 bas hantar 722 pelajar balik raya

05 Apr 2024 04:23pm
A
A
A

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyediakan 19 bas bagi membolehkan 722 pelajar mereka pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Aidilfitri.

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, program Jom Balik Raya Bersama Zakat UTM yang menyediakan tiket bas secara percuma itu berlangsung dua hari bermula malam tadi hingga hari ini.

"Proses penghantaran pulang pelajar ini melibatkan sembilan negeri yang terbahagi kepada tiga zon utama iaitu Zon Utara, Zon Tengah dan Zon Pantai Timur.

"Program ini merupakan satu daripada tanda keprihatinan UTM dalam menjaga kebajikan para pelajar di universiti ini sekali gus meringankan beban mereka untuk pulang ke kampung halaman," maklumnya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Ahmad Fauzi bergambar bersama pelajar-pelajar yang akan pulang ke kampung masing-masing.
Ahmad Fauzi bergambar bersama pelajar-pelajar yang akan pulang ke kampung masing-masing.

Beliau berkata, program tajaan Unit Zakat dan Kebajikan, Pusat Islam UTM itu adalah anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM dengan kerjasama Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Unit Pengurusan Kenderaan (UTM Fleet) dan barisan Persatuan Anak Negeri UTM.

Menurut beliau, penajaan itu melibatkan jumlah kos keseluruhan sebanyak RM41,183 yang merangkumi kos tiket bas dan kit juadah sahur bagi pelajar yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad Fauzi berkata kaedah pembelajaran secara dalam talian bermula hari ini bakal memberi ruang kepada kira-kira 22,000 pelajar UTM untuk pulang ke kampung halaman lebih awal bagi membuat persiapan Aidilfitri. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok