
Fakulti Pertanian, UPM cipta pelembap bibir madu kelulut asli
Masalah bibir kering bukan sahaja menyebabkan ketidakselesaan, malah boleh mengakibatkan luka dan pendarahan. Keadaan ini berpunca daripada kekurangan lembapan seterusnya meningkatkan risiko jangkitan bakteria.
Salah satu penyelesaian semula jadi yang terbukti berkesan dalam merawat bibir kering ialah melalui penggunaan madu, yang terkenal dengan sifat pelembap kulit dan juga penyembuh luka.
Menyedari manfaat ini, sekumpulan pekerja dari Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menginovasi hasil madu kelulut asli daripada ladang penyelidikan mereka untuk menghasilkan pelembap bibir berasaskan madu kelulut asli.
Produk berkenaan merupakan hasil kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan secara intensif di Ladang 10, Fakulti Pertanian yang mengusahakan 60 unit log dan haif ternakan lebah kelulut.
Menurut Pegawai Pertanian, Saiful Anuar A Rahman, idea untuk menghasilkan pelembap bibir tercetus selepas kejayaan mereka menghasilkan sabun berasaskan madu kelulut.

"Kami melihat sumber madu kelulut mentah yang melimpah ini sebagai satu kelebihan yang boleh dimanfaatkan. Daripada membiarkan lebihan madu tanpa digunakan secara optimum, kami mengambil inisiatif untuk menghasilkan produk berasaskan madu kelulut yang memberi manfaat kepada orang ramai.
"Pelembap bibir ini mengandungi madu kelulut asli dan propolis kelulut, dua bahan utama yang kaya dengan khasiat semula jadi. Madu kelulut bukan sahaja mengekalkan kelembapan pada bibir dan mencegah dehidrasi, tetapi juga membantu mengurangkan parut serta mempercepatkan pertumbuhan tisu baharu," katanya.
Beliau berkata, propolis kelulut yang dihasilkan oleh lebah daripada resin pokok bertindak sebagai bahan antibakteria yang melindungi bibir daripada jangkitan dan keradangan.

"Lebah kelulut menggunakan propolis untuk membina dan melindungi sarang mereka daripada jangkitan kuman. Propolis kaya dengan sebatian antibakteria dan antimikrob yang bermanfaat dalam penjagaan kulit termasuk mempercepatkan penyembuhan luka kecil dan ulser mulut," ujarnya lagi.
Jelas Saiful Anuar, pelembap bibir inovasi Fakulti Pertanian, UPM bukan sahaja berkualiti tinggi, malah ditawarkan pada harga berpatutan iaitu RM13 sahaja.
Katanya, ia sesuai digunakan oleh semua peringkat umur terutama mereka yang mengalami masalah bibir kering dan sensitif.
