
Pensyarah UPM digelar MacGyver Malaysia! 'Dr Rosnah cipta lebih 60 jenis mesin pemprosesan makanan. Luar biasa' - Warganet
Universiti Putra Malaysia (UPM) terkenal sebagai salah satu universiti penyelidikan utama di Malaysia.
Pusat pengajian dan penyelidikan ini sering melahirkan penyelidik atau pensyarah yang berbakat dan berpotensi tinggi dalam pelbagai bidang antaranya pertanian, sains, kejuruteraan dan bioteknologi.
Terbaharu, seorang pensyarah yang juga penyelidik, Profesor Ts Dr Rosnah Shamsudin telah mengharumkan nama UPM apabila berjaya mencipta lebih 60 harta intelek berdaftar mesin pemprosesan makanan bagi membantu industri kecil dan sederhana (IKS) di Malaysia.
Kecekapan dan kepakaran membangunkan mesin-mesin itu menjadikan Dr Rosnah sebagai figura utama dalam inovasi teknologi pemprosesan makanan di Malaysia.
Difahamkan, antara ciptaan terkemuka beliau adalah mesin pemprosesan durian, pengering makanan berkuasa tinggi dan mesin penyahkulit buah yang telah digunakan secara meluas oleh usahawan tempatan.

Sepanjang menghasilkan inovasi-inovasi itu, Dr Rosnah yang digelar MacGyver Malaysia berkata, pelbagai cabaran perlu dilalui dengan hati yang kental.
"Setiap perjalanan menuju kejayaan pasti akan dipenuhi dengan rintangan dan dugaan.
"Seseorang perlu mempunyai ketabahan, kecekalan dan semangat juang yang tinggi untuk mengatasi setiap halangan yang datang,” ujarnya.
Dr Rosnah berkata, cabaran utama yang perlu diatasi adalah memperkenalkan mesin baru kepada industri makanan sasaran dan menghasilkan sebuah mesin pada harga mampu milik.
"Material untuk mesin makanan mesti diperbuat dari stainless steel atau besi tahan karat tetapi harga bagi material ini dan kos upah pembuatannya agak tinggi.
"Semua ini memang bukan mudah. Bagaimanapun, jika kita berusaha dan kerja kuat serta sentiasa berdoa kepada ALLAH, insya-ALLAH semuanya lancar," ujar beliau.