Gaji graduan baharu perlu dikaji semula - Tengku Permaisuri Selangor
Isu diskriminasi gaji khususnya bagi graduan yang baharu menamatkan pengajian perlu dikaji semula dengan penetapan bayaran minimum mengikut keperluan, ekonomi dan inflasi semasa.
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) bertitah, kerajaan harus menilai situasi itu dan mencadangkan penyelesaian agar anak bangsa tidak tercicir dengan kemajuan arus perdana.
"Sokongan kerajaan pastinya amat penting dalam memastikan kelangsungan kehidupan dan kebajikan mereka terjamin," titah baginda dalam Istiadat Konvokesyen UiTM ke-99, di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Shah Alam, Selangor.
Baginda juga bertitah, peluang pekerjaan yang ditawarkan pada masa ini adalah tidak setaraf dengan kelayakan graduan dengan isu gaji tidak selaras dan tidak setimpal terhadap permintaan serta penawaran kerja sering dipersoalkan.
"Faktor ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan pekerjaan dari bidang tertentu juga perlu dikaji.
"Terdapat lambakan graduan yang melebihi dari permintaan dan ada juga situasi, penawaran kerja melebihi kepakaran yang disediakan.
"Bagaimanakah kita melihat perkara ini? Apakah resolusi yang boleh diberikan agar graduan-graduan yang terkesan ini mempunyai jalan penyelesaian dengan menyumbangkan khidmat mereka dalam bidang yang lain?," titah baginda.
Baginda bertitah, dalam memartabatkan Bumiputera melalui institusi pengajian tinggi serta memenuhi keperluan industri, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan universiti harus bekerja keras untuk memastikan graduan lebih relevan dengan pasaran kerja.
“Melihatkan situasi ini, IPT seluruhnya perlu meneliti bidang-bidang tujahan baharu yang relevan dengan keperluan industri agar dapat mempersiapkan graduan untuk terus bekerja dan memperkembangkan kerjaya.
“Ilmu keusahawanan dan penggunaan teknologi digital harus diperkasa agar kemahiran tambahan ini dapat memberi pendedahan kepada graduan untuk bergerak ke hadapan dalam apa sahaja situasi yang melanda.
“Latihan kemahiran dan kursus profesional jangka pendek yang relevan harus dipertimbangkan oleh IPT agar mereka lebih kompeten untuk mengharungi cabaran, seterusnya menyumbang khidmat dalam menembusi pasaran global,” titah baginda.
Dalam usaha melahirkan bakat yang berinovasi serta inovatif ini, masyarakat dan sektor industri perlu menyokong IPT.
“Melalui sumbangan dana dan kerjasama yang erat antara IPT, industri, dan masyarakat, ekosistem pendidikan yang dinamik dapat dibentuk dengan baik sekali.
“Keperluan bekalan sumber manusia yang kompeten,secara tidak langsung akan memberikan kesan positif kepada pembangunan negara,” titah baginda.
Terdahulu, Istiadat Konvokesyen UiTM ke-99 berlangsung 2 September hingga 17 Oktober depan dengan melibatkan seramai 28,020 graduan pelbagai bidang menerima ijazah dan diploma masing-masing.
Sebanyak 27 sidang konvokesyen akan berlangsung di UiTM Kampus Shah Alam melibatkan penganugerahan kepada 25,459 graduan.
Manakala 856 graduan diraikan pada istiadat di UiTM Cawangan Sabah dan 1,705 graduan lagi di UiTM Cawangan Sarawak.