No Image Caption

Galakan agama cetus kesedaran siswa KUIPs untuk berniaga

MOHAMAD AMREEL IMAN ABD MALEK
05 Oct 2023 12:43pm
A
A
A

Menyedari galakan Islam mengenai bidang perniagaan membuatkan dua orang siswa Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) iaitu Usamah Rusmayadi dan Ade Setiawan Ahmad Royani menceburi perniagaan menjual buah-buahan berhampiran Terinai Lakeview Resort, Jalan Kaki Bukit, Tasik Timah Tasoh, Perlis.

Menurut mereka, kebanyakan orang berjaya dalam hidup adalah yang menjalankan perniagaan.

Malah, ramai dalam kalangan usahawan juga adalah datang dari golongan miskin atau sederhana namun dengan semangat dan yakin dengan apa dilakukan akhirnya membuatkan mereka berjaya.

Justeru, kedua-dua penuntut KUIPs mengambil peluang itu untuk belajar menceburi bidang perniagaan yang dimiliki oleh rakan ibu angkat mereka dari Kedah.

Ade Setiawan yang merupakan siswa semester dua Diploma Syariah berkata, peluang bagi menjalankan perniagaan sebenarnya banyak, tetapi semuanya memerlukan usaha dan kesungguhan sendiri.

No Image Caption

“Perniagaan boleh dijalankan dengan 1001 cara dan boleh bermula pada bila-bila masa walaupun sebagai mahasiswa di institusi pengajian, namun yang penting jenis perniagaan yang boleh diceburi dan perlu juga berusaha untuk mencarinya.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai penuntut, walaupun pengurusan KUIPs telah menaja kami untuk pengajian dan menyediakan wang perbelanjaan setiap bulan tetapi kami perlu berusaha mempelajarinya juga demi menunjukkan siswa kolej ini turut aktif dalam bidang keusahawanan seperti institusi pengajian lain,” sambungnya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Roziana Saad memuji cara layanan yang diberikan siswa berkenaan semasa mengendalikan jualan buah-buahan.

“Ketika berhenti untuk membeli buah durian, saya terkejut dengan cara layanan dan kemesraan dua remaja ini melayan saya membeli buah berkenaan.

“Saya doakan semoga dua penuntut ini bukan sahaja berjaya dalam bidang pengajian masing-masing malah mungkin pengalaman perniagaan dapat membantu mereka menjadi usahawan satu hari nanti,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok