Ketiga-tiga pensyarah KUIPs bergambar kenangan dengan hadiah kemenangan serta hasil inovasi mereka.
Ketiga-tiga pensyarah KUIPs bergambar kenangan dengan hadiah kemenangan serta hasil inovasi mereka.

Tiga pensyarah KUIPs menang pingat emas

16 Jan 2024 07:30pm

Tiga pensyarah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) memenangi Gold Medal bagi pertandingan inovasi kategori C (ahli akademik dan penyelidik) sempena Ulul Albab Innovation Competition and Exhibition (UAICE) 2024 anjuran Pusat Ulul Albab, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada minggu lalu.

Ketua penyelidik, Siti Fadhilah berkata, tajuk inovasi yang diketengahkan oleh Siti Fadhilah Ghazali, Naimah Abu Kassim dan Suharne Ismail adalah Zakat on Inheritance: A Proposed of Implementation Zakat Guidelines Standard.

“Pemilihan tajuk ini bagi memberi kesedaran dan membantu semua pihak termasuk Institusi Zakat Negeri, Majlis Agama Islam Negeri, institusi pentadbiran harta pusaka, pengamal undang-undang dan semua orang awam yang beragama Islam mengenai kewajipan terhadap ahli waris menunaikan zakat daripada harta pusaka,” katanya ketika ditemui selepas berkongsi kejayaan mereka dengan Rektor KUIPs Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle.

Fadhilah berkata, institusi zakat memang berada di barisan hadapan bagi memainkan peranan, namun kesedaran dalam kalangan masyarakat dan beberapa institusi lain perlu digerakkan agar wang zakat yang terkumpul itu kelak dapat diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Sementara itu, Dr Muhamad Rozaimi yang ditemui berbangga dengan pencapaian pensyarahnya kerana berjaya memenangi Gold Medal dalam pertandingan inovasi yang dianjurkan.

“Pastinya kejayaan ini bukan sahaja membanggakan warga KUIPs, malah ia membantu institusi zakat negeri, majlis agama Islam negeri, institusi pentadbiran harta pusaka, pengamal undang-undang dan juga menyedarkan masyarakat islam mengenai zakat,” ujar beliau.

Untuk rekod, penyertaan ketiga-tiga pensyarah itu dalam Ulul Albab Innovation Competition and Exhibition (UAICE) 2024 kali ini adalah kesinambungan pertandingan inovasi di peringkat KUIPs iaitu Innovation, Invention & Design (KIID 2023) pada 15 November 2023.

Hasil daripada penyertaan itu, mereka telah membuat penambahbaikan dalam beberapa aspek bagi memastikan penyelidikan tersebut memberi impak yang lebih signifikan kepada institusi yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

Justeru, diharapkan memberi inspirasi kepada golongan penyelidik dan ahli akademik untuk menyalurkan idea dalam meningkatkan elemen inovasi dalam bidang penyelidikan.

Pertandingan inovasi itu melibatkan 30 kumpulan terdiri daripada ahli akademik dan penyelidik, guru sekolah, mahasiswa serta pelajar sekolah.

Antara institusi yang mengambil bahagian adalah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Malaya, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Politeknik Ungku Omar, institusi-institusi di bawah MARA dan sekolah-sekolah di peringkat menengah dan rendah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp