‘Gear UP!’ 2023 menekankan penguasaan Bahasa Inggeris, kuatkan jati diri bakal mahasiswa seluruh Kelantan

AZLEENDA SAHALUDIN
21 Mar 2023 11:13am
A
A
A

Tidak lama lagi pasti ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan melanjutkan pelajaran ke pusat-pusat pengajian tinggi di seluruh negara.

Mereka pastinya tidak sabar menanti saat tersebut memandangkan ia adalah satu lembaran baharu dalam kehidupan dengan suasana pembelajaran yang jauh berbeza dengan zaman persekolahan.

Dalam keghairahan meniti ke menara gading, para pelajar ini perlu mempersiapkan diri masing-masing bagi memastikan setiap peluang yang diperolehi tidak disia-siakan begitu sahaja.

Untuk itu, sebagai langkah persediaan pelajar lepasan SPM 2022 ke alam pengajian tinggi, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menganjurkan Program ‘Gear UP!’ 2023 (Get Ready for University Programme).

Berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Mac lalu, ia diadakan di Kampus Kesihatan USM yang terletak di Kubang Kerian, Kelantan.

Narimah Samat
Narimah Samat



Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Datuk Gs Dr Narimah Samat dalam ucapan sempena majlis perasmian penutupan program ini berkata, ‘Gear Up!’ 2023 dianjurkan bertujuan meningkatkan nilai kepimpinan dan keyakinan diri serta kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris sebagai persediaan ke alam pengajian tinggi dalam kalangan pelajar lepasan SPM.

Beliau turut memberitahu, ia juga dirancang untuk memberi pendedahan kepada bakal mahasiswa mengenai kehidupan sebagai pelajar universiti atau institusi pendidikan yang bakal dilalui selepas tamat persekolahan.

“Saya percaya program ini akan menjadi platform pelajar memulakan lakaran perjalanan baharu bagi mencipta kecemerlangan untuk menjadi mahasiswa yang terbaik bukan hanya dalam akademik tetapi juga sahsiah diri dan minda yang hebat pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:


“Sahutlah cabaran dalam era pembelajaran pada masa kini dengan semangat juang, tidak mudah mengalah, penuh kesabaran, ketabahan dan kecekalan serta sentiasa berfikiran terbuka,” ujarnya.

Program ‘Gear Up!’ 2023 ini telah disertai seramai 110 pelajar dari seluruh negeri Kelantan melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Tambah Narimah Samat lagi, di Malaysia hanya tiga Universiti Awam (UA) yang dilantik untuk menganjurkan program ini iaitu USM di Semenanjung Malaysia sebagai wakil tunggal di negeri Kelantan dan Pulau Pinang, Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan universiti swasta bagi negeri-negeri lain.

“Bagi pelajar yang ingin masuk ke USM, kami menyediakan Program Pra-Universiti dengan tajaan penuh daripada MARA dan program ini merupakan satu laluan untuk kesinambungan pengajian peringkat ijazah pertama dan seterusnya peringkat ijazah tinggi.

“Program Pra-Universiti USM ini juga telah disediakan bertujuan untuk melahirkan graduan berkualiti dan berdaya saing serta mampu mengisi kekosongan pasaran kerja dan bukan hanya pencapaian akademik yang dititikberatkan tetapi juga kemahiran lain termasuk kemahiran insaniah atau ‘soft skill’,” jelasnya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok