Masalah kewangan punca lepasan SPM terus bekerja
Isu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak ingin menyambung pelajaran sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) semakin menjadi topik hangat pada masa kini.
Isu ini lebih terkenal dalam kalangan pelajar yang berasal dari kawasan luar bandar. Semua golongan masyarakat sudah sedia maklum bahawa keluarga asal dari luar bandar mempunyai lebih banyak kekurangan berbanding keluarga dari bandar.
Situasinya jelas menunjukkan kewangan merupakan masalah utama yang menyebabkan pelajar lepasan SPM tidak ingin melanjutkan pengajian ke peringkat IPT.
Ia semakin membimbangkan apabila empat daripada 10 orang lepasan (SPM) yang baru tamat sesi persekolahan pada tahun 2022, tidak berhasrat menyambung pengajian ke universiti awam.
Kajian ini juga mendapati lebih separuh daripada pelajar lepasan SPM (51 peratus) ingin menyambung pelajaran, manakala 39 peratus daripada mereka ingin mencari pekerjaan dan 10 peratus daripadanya tidak mempunyai sebarang rancangan setelah tamat persekolahan.
Punca utama pelajar lepasan SPM tidak ingin menyambung pelajaran ke IPT adalah disebabkan oleh masalah kewangan yang dihadapi oleh keluarga yang memberi kesan kepada mereka dari segi emosi dan kesihatan mental dan fizikal. Mereka berfikiran bahawa adalah lebih baik untuk terus memasuki alam pekerjaan selepas menamatkan SPM daripada melanjutkan pengajian ke IPT.
Hal ini kerana jika mereka terus memasuki alam pekerjaan, mereka akan mempunyai pendapatan sendiri dan sedikit sebanyak boleh meringankan bebanan kewangan keluarga berbanding melanjutkan pengajian ke IPT yang memerlukan kos yang lebih tinggi.
Ia telah dibuktikan di mana salah seorang pelajar lepasan SPM dari Pulau Pinang yang nekad tidak ingin menyambung pengajian ke IPT kerana mahu bekerja bagi membantu menyara keluarganya yang miskin.
Selain itu, yuran yang ditetapkan oleh sesetengah IPT adalah terlalu tinggi untuk pelajar yang mempunyai masalah kewangan terutama pelajar yang datangnya daripada keluarga B40. Ia dibuktikan apabila terdapat sebanyak 72 peratus enggan menyambung pengajian ke peringkat IPT bukan kerana tidak mahu tetapi kerana mereka bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.
Perkara ini telah pun dibuktikan apabila salah seorang pelajar lepasan SPM yang terpaksa menguburkan niatnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat IPT walaupun mendapat tawaran biasiswa.
Dia takut jika tidak mampu membiayai kos-kos lain semasa tempoh pengajiannya berlangsung kerana yuran pengajian bukanlah satu-satunya kos yang perlu ditanggung oleh para pelajar universiti.
Walau bagaimanapun, pinjaman yang diberikan untuk pelajar IPT selama melanjutkan pelajaran di IPT turut menjadi punca mengapa pelajar lepasan SPM tidak ingin menyambung pengajian mereka.
Seperti yang sedia maklum bahawa para pelajar boleh memohon mana-mana tajaan bagi membolehkan mereka mendapatkan pinjaman untuk menampung perbelanjaan mereka semasa dalam tempoh pengajian mereka.
Perkara ini menjadi punca mereka tidak ingin menyambung pengajian walaupun dapat memperoleh pinjaman adalah kerana jumlah pinjaman yang perlu dibayar adalah lebih banyak berbanding jumlah yang dipinjam.
Tambahan pula sekarang isu pembayaran semula pinjaman PTPTN yang diwajibkan ke atas semua graduan yang mana tidak mengira keputusan akhir peperiksaan mereka lebih mendorong pelajar lepasan SPM tidak ingin menyambung pengajian.
Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat tetapi jumlah pinjaman yang tidak berubah juga menjadi salah satu punca kerana mereka tidak lagi boleh mengharapkan pinjaman PTPTN semata-mata untuk menampung perbelanjaan mereka sepanjang tempoh pengajian.
Kurangnya tenaga mahir
Seiring perkembangan teknologi masa kini, beberapa pihak menyuarakan pandangan serta kebimbangan bahawa negara mungkin menghadapi masalah besar sekiranya ramai daripada pelajar tersebut tidak meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Negara akan mengalami masalah kekurangan tenaga kerja mahir dalam pelbagai sektor.
Perkembangan teknologi kini memerlukan lebih ramai tenaga kerja yang mahir bagi menghasilkan keluaran yang lebih berkualiti dan dalam kuantiti yang mencukupi untuk menampung permintaan terhadap sesuatu keluaran itu.
Persoalaan yang mungkin timbul adalah 'apakah yang akan terjadi kepada negara apabila tidak mempunyai tenaga kerja mahir yang mencukupi?'.
Isu ini seharusnya sudah memberi petunjuk kepada pihak kerajaan berkaitan pinjaman yang bakal dilakukan oleh para pelajar sebelum mereka mengambil keputusan untuk menyambung pengajian.
Pinjaman yang seharusnya diberikan kepada pada pelajar adalah bersesuaian dengan kos sara hidup yang semakin meningkat kini. Ini dapat mengurangkan beban pelajar tersebut untuk mencari wang saku yang lebih sekali gus beban para ibu bapa juga turut akan berkurang.
Pihak kerajaan juga seharusnya mengembalikan keadaan di mana graduan yang lulus dengan jayanya daripada universiti dikecualikan untuk membayar balik pinjaman yang dilakukan oleh mereka.
Perkara ini sedikit sebanyak dapat mengubah corak pemikiran pelajar lepasan SPM terhadap pinjaman yang bakal dimohon oleh mereka sebelum memasuki sesebuah uniiversiti.
Jangka masa program yang ditawarkan oleh universiti sendiri memakan masa yang lama dan sudah tentu kosnya juga tinggi. Mereka beranggapan sebegitu kerana lebih mengenali ekonomi diri dan keluarga.
Peranan kerajaan amatlah penting dalam meyakinkan para pelajar lepasan SPM iaitu dengan mengubah corak pemikiran mereka bahawa melanjutkan pengajian ke peringkat IPT memberi lebih banyak kebaikan daripada terus memasuki alam pekerjaan selepas menamatkan SPM.
Maklumat Penulis
1 - Pelajar Tahun Akhir, SM Ekonomi Sumber Alam, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nurul Syaidatul Akma Mohammad.
2 - Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial UMT, Jaharudin Padli.
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my