Wajah gembira barisan pemenang NCPD 2024 di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini.
Wajah gembira barisan pemenang NCPD 2024 di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini.

Gel tenaga berasaskan kurma UPM bawa pulang anugerah dari Arab Saudi

16 Jan 2025 11:05am

Produk gel tenaga berasaskan kurma yang diperkaya dengan madu dan habbatus sauda dari Universiti Putra Malaysia (UPM) diumum pemenang bagi kategori Pembangunan Produk Baharu di Anugerah National Centre for Palms and Dates International (NCPD) 2024, Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini.

NCPD yang dianjurkan National Centre for Palms and Dates, Arab Saudi telah menerima 173 permohonan penyertaan dari 37 negara.

Bagaimanapun, hanya 14 penyertaan sahaja dipilih sebagai pemenang bagi tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Best Scientific Research Prize Joint-Winners (lima pemenang); Date Palm Innovative Technology Excellence Prize Joint-Winners (lima) dan New Product Development Prize Joint-Winners (empat).

Ketua Penyelidik Projek, Profesor Ir Dr Yus Aniza Yusof berkata, produk gel tenaga berasaskan kurma yang diperkaya dengan madu dan habbatus sauda itu memberikan tenaga tahan lama dan pemulihan optimum bagi atlet.

"Produk ini merupakan hasil penyelidikan mendalam yang menggabungkan manfaat khasiat kurma, madu, dan habbatus sauda untuk memberikan alternatif makanan berkhasiat dan efektif untuk atlet dalam menghadapi cabaran fizikal yang tinggi serta mempunyai nilai indeks glisemik yang rendah.

"Kreativiti dan kesan yang positif oleh produk berkenaan kepada industri sukan dan pemakanan menonjolkan sumbangan luar biasa dalam penyelidikan saintifik selain penilaian pembentangan projek menarik perhatian juri serta lembaga pemegang amanah,” katanya selaku Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal dan Profesor di Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan, UPM.

Dr Yus Aniza bersama anugerah yang diterima UPM dalam kategori Pembangunan Produk Baharu di NCPD 2024.
Dr Yus Aniza bersama anugerah yang diterima UPM dalam kategori Pembangunan Produk Baharu di NCPD 2024.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, produk gel sukan yang dihasilkan adalah antara usaha berterusan bagi mempromosikan penggunaan bahan-bahan semula jadi yang lebih sihat dan berkualiti dalam makanan sukan sekali gus memberi peluang kepada atlet meningkatkan prestasi mereka dengan cara lebih berkesan dan alami.

"Terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh semua pihak terlibat sepanjang menjayakan projek ini.

"Kami di UPM akan berusaha meningkatkan lagi kualiti penyelidikan dalam bidang teknologi makanan dan produk halal,” tuturnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp