Penghafal lima juzuk al-Quran wakil negara ke Piala Dunia Remaja 2025! 'Doakan Muhammad Afham bawa pulang kejayaan dalam sukan golf'
Penghafal lima juzuk al-Quran yang juga pemain golf negara, Muhammad Afham Othman melakar sejarah apabila terpilih menyertai Piala Dunia Remaja 2025, Florida, Amerika Syarikat (AS) pada 3 hingga 5 Januari 2025.
Pencapaian luar biasa pelajar Tingkatan Satu dari Kolej Epsom, Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan sekali gus melayakkan dia menjadi wakil Malaysia ke AS dalam sukan golf.
Muhammad Afham yang menyasarkan untuk berada dalam kedudukan lima terbaik di kejohanan itu, bakal berlepas ke Florida pada Rabu, dengan ditemani bapanya, Othman Ismail, 64, dan jurulatih, Dinie Zakie.
Anak kelahiran Gua Musang, Kelantan melahirkan rasa syukur kerana impian ke AS akhirnya tercapai walaupun kos perjalanan ke sana sangat tinggi.
"Dana sebanyak RM50,000 diperlukan untuk ke sana. Namun alhamdulillah, semuanya dipermudahkan apabila mendapat sokongan dan sumbangan kewangan daripada badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Golf Doremi selain RM15,000 diberikan kerajaan Kelantan," kata bekas murid Sekolah Kebangsaan Sri Wangi, Gua Musang, Kelantan.
Untuk info, Muhammad Afham layak ke Piala Dunia Remaja 2025 apabila mendapat tempat kedua pada Kejohanan Golf Remaja Mazda AS 2024, Thailand bulan lalu.
Tempat pertama bagi kejohanan sama disandang pemain Korea Selatan, Taeoh Ryu manakala tempat ketiga milik atlet Filipina, Ralph Rian Woo Batican.