Reaksi pelajar baharu selepas mendaftar di UniKL MIIT.
Reaksi pelajar baharu selepas mendaftar di UniKL MIIT.

Generasi muda semakin tertarik dengan HTVET di UniKL MIIT

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
15 Oct 2024 07:15am

Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Information Technology (UniKL MIIT), mengumumkan kemasukan pelajar baharu bagi sesi akademik Oktober 2024.

Seramai 920 pelajar baharu telah mendaftar pada hari ini.

Program Higher Technical Vocational Education and Training (HTVET) yang ditawarkan dalam bidang teknologi maklumat dan multimedia semakin mendapat tempat di hati pelajar.

Dekan UniKL MIIT, Profesor Madya Ts Dr Mohd Nizam Husen berkata, peningkatan minat pelajar terhadap program HTVET adalah hasil daripada kesedaran tentang kepentingan kemahiran teknikal dan vokasional dalam memenuhi keperluan industri semasa.

"Dengan perkembangan pesat teknologi, kami percaya bahawa program HTVET di UniKL MIIT menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan untuk menghadapi cabaran dalam dunia pekerjaan," ujarnya.

Mohd Nizam (kanan) bersama pelajar baharu yang mendaftar (tengah) dan Timbalan Dekan, Akademik dan Teknologi UniKL MIIT, Dr Shafiza Mohd Shariff.
Mohd Nizam (kanan) bersama pelajar baharu yang mendaftar (tengah) dan Timbalan Dekan, Akademik dan Teknologi UniKL MIIT, Dr Shafiza Mohd Shariff.

Beliau juga menekankan bahawa UniKL MIIT komited memberikan pendidikan berkualiti tinggi dan pengalaman pembelajaran yang holistik.

"Kami menyediakan fasiliti moden dan peluang pembelajaran yang bersepadu untuk memastikan pelajar kami bersedia untuk menjadi pemimpin dalam bidang teknologi maklumat," ujarnya lagi.

Untuk rekod, program HTVET di UniKL MIIT menawarkan pelbagai kursus yang merangkumi pengaturcaraan, keselamatan siber, pembangunan aplikasi dan banyak lagi yang disusun mengikut keperluan industri.

"Kami berharap agar lebih ramai pelajar memilih untuk menyertai program ini dan menjadi sebahagian daripada komuniti UniKL MIIT," kata Mohd Nizam..

Kemasukan pelajar baharu ini juga disertai dengan pelbagai aktiviti orientasi untuk membantu pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran kampus dan memahami perjalanan akademik mereka.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp