Mohd Izani meluangkan masa peninjau proses pendaftaran pelajar.
Mohd Izani meluangkan masa peninjau proses pendaftaran pelajar.

Graduan berdaya saing bermula di UMT

02 Oct 2024 10:22am
A
A
A

Seramai 2,060 pelajar baharu program Sarjana Muda bagi Sesi Akademik 2024/2025 mendaftar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bermula Selasa.

Daripada jumlah itu, seramai 238 pelajar merupakan lepasan Asasi Sains, Teknologi, Engeneering dan Matematik (STEM) yang juga ‘produk’ UMT.

Naib Canselor UMT, Profesor Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata, pihak pengurusan UMT komited dan memberi jaminan dalam memastikan pelajar dapat mengikuti alam kampus dengan baik serta menghabiskan pembelajaran dengan cemerlang di UMT, seterusnya melahirkan graduan berdaya saing.

Menurut beliau, kesemua pelajar perlu memanfaatkan peluang tersebut untuk mencapai kejayaan akademik dan menyumbang kepada negara serta mengucapkan tahniah kepada pelajar dan semua ibu bapa kerana memilih UMT sebagai universiti pilihan utama.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain bersama pihak pengurusan universiti sama-sama turun padang meninjau proses pendaftaran dan kemasukan pelajar ke kampus, malah sempat beramah mesra dengan para pelajar dan ibu bapa.

“Seawal jam 7.30 pagi, para pelajar bersama keluarga telah bersedia untuk sesi pendaftaran di Dewan Sultan Mizan (DSM) dan disambut para petugas. Proses pendaftaran dan kemasukan lancar dengan kerjasama seramai 350 petugas yang merupakan fasilitator dalam kalangan pelajar senior, staf dan sukarelawan," katanya kepada pemberita.

Keterujaan ibu bapa menghantar anak-anak meneruskan pengajian di UMT.
Keterujaan ibu bapa menghantar anak-anak meneruskan pengajian di UMT.

Mohd Izani berkata lagi, Minggu Jalinan Mesra (MJM) yang berlangsung mulai 1 hingga 5 Oktober ini, di mana pelajar mengikuti sesi taklimat di Dewan Sultan Mizan serta kolej kediaman merangkumi sesi pengenalan akademik dan hal ehwal pelajar.

"Mereka juga akan terlibat dengan pelbagai aktiviti antaranya sukan dan kesenian serta dibawa melawat fakulti masing-masing.

“Saya mengharapkan para pelajar cepat menyesuaikan diri di alam kampus dan meneroka lebih banyak peluang dalam bidang kokurikulum bagi melahirkan pelajar yang bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik semata-mata, malah melahirkan graduan holistik serta bersedia untuk berada di alam pekerjaan kelak," tegas Mohd Mizan.

Beliau berkata lagi, bagi memperkasakan kempen dan menjayakan agenda kelestarian kampus dan ESG, HEPA telah menyediakan kepada pelajar baharu sebuah tumbler yang boleh digunakan sepanjang berada dikampus.

Inisiatif itu katanya, bagi mengurangkan kebergantungan pelajar kepada botol air atau meneral plastik yang digunakan.

UMT menjadi pilihan pelajar pelbagai kaum untuk melanjutkan pengajian.
UMT menjadi pilihan pelajar pelbagai kaum untuk melanjutkan pengajian.

Untuk rekod, UMT turut menawarkan program pengajian baharu bagi pengambilan sesi Akademik 2024/2025 iaitu Sarjana Muda Kewangan dengan Kepujian dan menerima pelajar sulungnya seramai 82 orang untuk sesi ini. Manakala 33 program sarjana muda yang telah ditawarkan UMT setakat ini.

Perkara yang membanggakan apabila maklum balas yang diterima daripada pelajar rata-rata menyatakan UMT adalah pilihan pertama mereka dan ia menggambarkan UMT menjadi pilihan utama untuk melanjutkan pelajaran.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok