
Hassan Basri dilantik Presiden & Naib Canselor baharu UNISEL
Profesor Emeritus Datuk Ir Dr Hassan Basri dilantik sebagai Presiden dan Naib Canselor kelapan Universiti Selangor (UNISEL) bagi tempoh tiga tahun bermula 18 Ogos 2025 hingga 17 Ogos 2028.
Pelantikan itu sekali gus menggantikan Senator Profesor Emeritus Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman yang tamat perkhidmatan pada 30 Jun lalu.
Surat pelantikan disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Pejabat Menteri Besar Selangor.
Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat UNISEL, Hasril Abu Hasan berkata, pelantikan itu menjadi langkah strategik bagi mengangkat UNISEL sebagai peneraju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia.
"Ini seiring pengiktirafan UNISEL sebagai salah satu daripada enam universiti yang tergolong dalam rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Hassan Basri memiliki pengalaman luas dalam bidang akademik, industri dan pengurusan.
Sebelum ini, beliau merupakan Profesor Emeritus di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Penasihat Teknikal di Produktif Sepakat Consulting Engineers Sdn Bhd dan Pengarah Kualiti di Perunding Atur Trafik Sdn Bhd.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (Kepujian) dari University of Tasmania, Australia pada 1982, Ijazah Sarjana Kejuruteraan (Tropical Public Health Engineering) dari University of Leeds, United Kingdom pada 1988 serta Doktor Falsafah dalam Kejuruteraan Alam Sekitar dari universiti sama pada 1994.
Beliau juga berkemahiran dalam Kejuruteraan Alam Sekitar, Kecerdasan Buatan (AI) dan Pendidikan Kejuruteraan, selain pengalaman industri sejak 1983 hingga 1998 yang menjadikan kepakarannya seimbang antara dunia akademik dan keperluan industri.
UNISEL dalam kenyataannya merakamkan penghargaan serta tahniah atas pelantikan itu dan berharap universiti terus maju di bawah kepimpinan beliau.
WARTAWAN: MOHD AZLIM ZAINURY