
Hentikan desakan melampau isu kemasukan pelajar ke universiti - Zambry
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyeru semua pihak agar menghentikan desakan melampau berkaitan isu kemasukan ke universiti menerusi sistem UPUOnline kerana ia hanya akan mengeruhkan keadaan.
Menerusi kenyataan dalam video pada Sabtu, Zambry mengajak semua pihak untuk memperkukuh keyakinan terhadap sistem pendidikan tinggi negara demi masa depan pelajar.
"Pihak kementerian (KPT) sentiasa terbuka kepada perbincangan dan cadangan yang baik daripada semua kalangan dan elakkan dari sebarang manipulasi atau kepentingan pihak tertentu yang cuba mengeruhkan keadaan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan semua pihak agar lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan.
"Saya ingin mengingatkan semua pihak agar lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan atau mendesak sesuatu perkara yang boleh mencetuskan kegelisahan sekali gus membuatkan suasana tidak tenteram, khususnya dalam hal berkaitan akses pendidikan tinggi sepertimana yang kita dengar mutakhir ini tentang kedudukan pelajar-pelajar yang nak masuk ke universiti," katanya.
Beliau berkata, proses rayuan dan konsultasi disediakan oleh kementerian menerusi UPUOnline, malah pejabat khas di lobi KPT turut dibuka bagi membantu pelajar yang berdepan masalah permohonan.
"Seperti yang telah saya maklumkan, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr Azlinda Azman juga telah maklumkan, UPUOnline juga telah maklumkan agar semua (penyelesaian) permasalahan ini boleh dibuat melalui prosesnya," katanya.
Beliau berkata, KPT sentiasa berusaha menyelesaikan setiap permasalahan yang timbul dalam kalangan pelajar yang membuat permohonan melalui UPUOnline bagi memastikan mereka mendapat peluang melanjutkan pendidikan ke peringkat tinggi.
"Jadi hal ini, kita akan membantu dan kita memahami keadaan pelajar-pelajar kita. Setiap tahun ada yang mohon, ada yang tak dapat. Ada yang dapat tapi dia rasa dia perlukan sedikit sebanyak pertukaran. Dan ini biasa dan telah pun dilakukan selama ini," katanya.
Dalam hal itu, beliau menasihatkan agar pihak tertentu tidak keterlaluan menggunakan isu berkenaan bagi memenuhi matlamat kumpulan tertentu atau kepentingan politik.
"KPT sentiasa berusaha memastikan peluang yang adil diberikan kepada semua pelajar melalui sistem berasaskan prinsip meritokrasi, agihan demografi serta pertimbangan sosioekonomi termasuk pelajar daripada keluarga B40," katanya.
Zambry berkata, tiada pihak wajar mencabar atau memandang rendah sistem UPUOnline yang sekian lama berfungsi dengan baik termasuk saluran matrikulasi, asasi dan STPM, sambil menegaskan KPT sentiasa memastikan sistem berkenaan terus berjalan lancar serta menolak tuduhan tidak berasas kononnya berlaku kerosakan. - Bernama