Calon yang berjaya perlu membuat pengesahan setuju terima atau tolak tawaran bermula 6 September hingga 14 September ini di laman web UA masing-masing.
Calon yang berjaya perlu membuat pengesahan setuju terima atau tolak tawaran bermula 6 September hingga 14 September ini di laman web UA masing-masing.

Keputusan permohonan kemasukan ke Universiti Awam lepasan STPM diumum esok!

04 Sep 2025 10:33am

Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA) peringkat Sarjana Muda Sesi Akademik 2025/2026 bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf akan diumumkan pada esok.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu boleh disemak bermula 12 tengah hari (5 September) hingga 5 petang (14 September)

Semakan boleh dilakukan secara dalam talian melalui pautan https://upu.mohe.gov.my atau Aplikasi Mobile UPUPocket di telefon pintar.

Menurut KPT, calon yang berjaya perlu membuat pengesahan setuju terima atau tolak tawaran bermula 6 September hingga 14 September ini di laman web UA masing-masing.

"Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh UA kepada yang berjaya mulai 6 September setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan," menurut kenyataan itu.

KPT turut memaklumkan, hanya pemohon yang tidak berjaya ditawarkan tempat sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari bermula 12 tengah hari (5 September) hingga tarikh akhir semakan.

"Tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2025/2026 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan UA tidak dibenarkan," katanya.

Menurut KPT, pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Sebarang pertanyaan berkenaan permohonan UPUOnline boleh dimajukan ke Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA secara terus di Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, Aras 4, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5, 62000 Wilayah Persekutuan Putrajaya. - Bernama 

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp