Sebahagian Pentadbir USIM teruja membaca kisah memoir mereka yang diterbitkan dalam naskah Rendang Maman Itik Salai di reruai Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), PBAKL 2024.
Sebahagian Pentadbir USIM teruja membaca kisah memoir mereka yang diterbitkan dalam naskah Rendang Maman Itik Salai di reruai Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), PBAKL 2024.

Himpunan kisah pentadbir USIM dilancarkan

09 Jun 2024 12:09am

Susulan kejayaan sulung penerbitan buku yang menghimpunkan penulisan dalam kalangan pentadbir Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada tahun 2023 berjudul Masak Lomak Cili Api, kini Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas USIM (PRAGMATIS) sekali lagi bekerjasama dengan Penerbit USIM bagi penerbitan edisi kedua 2024.

Dengan mengumpulkan tulisan bergenre memoir dalam bentuk anekdot bertemakan motivasi dan inspirasi, naskah kedua bertajuk Rendang Maman Itik Salai (RMIS) telah dilancarkan secara rasmi sempena penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 pada Khamis.

Kompilasi penulisan memoir pentadbir USIM ini disempurnakan pelancarannya oleh Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan, bertempat di Pentas Utama PBAKL, World Trade Center (WTC) Kuala Lumpur.

Judul RMIS dipilih sebagai kesinambungan kepada buku pertama, yang mengetengahkan menu masakan tradisional Negeri Sembilan sebagai simbolik hidangan enak untuk disajikan kepada para pembaca.

Debaran kali pertama melapor diri, anugerah pertama dari universiti, cabaran bertukar jabatan, berhijrah ke luar negara, silap dalam membuat keputusan, bertemu kenalan baharu dan terus menggali ilmu antara kisah suka-duka pentadbir USIM yang dikongsikan dalam RMIS.

Menurut Presiden PRAGMATIS, Dr Mohd Helmi Masor@Mansor, penerbitan naskah kedua merupakan hasil kejayaan dari komitmen dan kerjasama tinggi antara penulis dan editor yang dilantik.

“Seramai 30 penulis menyumbangkan 36 karya penulisan bersandarkan kepada kisah benar dan pengalaman dilalui mereka sebagai pentadbir USIM untuk tatapan para pembaca.

Pelancaran naskah Pentadbir USIM di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pelancaran naskah Pentadbir USIM di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Kepelbagaian latar belakang bidang tugas dan jawatan para pentadbir ini, mencorakkan kisah yang berbeza dalam pelbagai elemen seperti perkhidmatan, pertukaran jabatan, pengantarabangsaan, pengurusan program, pengalaman mereka mengikuti kursus dan latihan, sebagai usaha pembelajaran berterusan bagi peningkatan kerjaya serta kisah-kisah lain yang mengajak kita menghayati iktibar di sebalik setiap peristiwa yang berlaku dalam kehidupan alam pekerjaan.

“Buku ini bukan sekadar perkongsian pengalaman kisah benar daripada pentadbir universiti, tetapi dalamnya penuh dengan kisah memberikan motivasi dan inspirasi dalam kehidupan yang menyeluruh” ujarnya yang juga merupakan Timbalan Ketua Pustakawan USIM.

PRAGMATIS mengambil cabaran menerbitkan naskah ini kerana ia menjadi platfom bagi menyerlahkan keupayaan pentadbir dalam bidang penulisan sekali gus menjadi kesinambungan kepada penghasilan karya-karya berkualiti yang lain pada masa hadapan.

Selain itu, ia juga dapat meningkatkan kemahiran serta menajamkan lagi kreativiti pentadbir ke peringkat yang lebih tinggi serta mampu untuk bekerja di luar kotak.

Maklumat penulis

Wakil Pentadbir USIM, Mohd Zaini Othman

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp