Ibu bapa sumber kekuatan hidup Muhammad Shamer

22 Sep 2023 03:58pm



Aktif dalam Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) di Kolej Komuniti Jelebu (KKJU), Negeri Sembilan sebagai Naib Yang Dipertua menjadi nilai tambah dalam mengasah bakat kepimpinan Muhammad Shamer Yusha Muhamad Yusof, 21 yang dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Ketua Pengarah sempena Majlis Konvokesyen Komemoratif Kolej Komuniti 2023 bagi Zon Melaka dan Negeri Sembilan.

Selain bergiat aktif bersama JPP, Muhammad Shamer Yusha juga sering terlibat dalam pertandingan inovasi sama ada yang dianjurkan oleh pihak kolej ataupun agensi luar.

Beliau yang mengikuti Program Sijil Teknologi Pembinaan Bangunan di KKJU telah meraih pelbagai kejayaan antaranya memenangi kategori 3D Model Terbaik di Pertandingan 3D melalui produk ‘Revit Structure’.

Muhammad Shamer Yusha yang bercita-cita menjadi kontraktor berkata, dorongan ibu bapa dan latar belakang keluarga yang terlibat dalam bidang pembinaan menjadi penguat semangat untuk berjaya.

“Sejak awal lagi ibu dan ayah meyakinkan saya untuk memilih bidang teknologi pembinaan kerana peluang yang terbuka luas dalam bidang berkenaan.

“Saya berharap suatu hari nanti akan dapat meneruskan legasi syarikat ayah dan menjadi kontraktor yang berjaya,” jelasnya.

Sebelum itu, Majlis Konvokesyen Komemoratif Kolej Komuniti 2023 bagi Zon Melaka dan Negeri Sembilan diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bermula 18 hingga 21 September lalu bagi meraikan 6,375 graduan dari 90 buah kolej komuniti seluruh Malaysia sempena dua dekad penubuhan kolej komuniti.

Presiden Terdahulu, Master Builders Association Malaysia (MBAM), Tan Sri Sufri Mohd Zin diberi penghargaan menyampaikan Anugerah Ketua Pengarah kepada Muhammad Shamer Yusha.

Artikel Berkaitan:


Sementara itu, Pensyarah Program Sijil Teknologi Pembinaan Bangunan KKJU, Sarah Abdul Hamid, menyifatkan Muhammad Shamer Yusha sebagai seorang penuntut yang mempunyai karismatik.

“Para pensyarah sememangnya sedia maklum dengan penglibatan Muhammad Shamer Yusha dalam JPP dan sepanjang pengajian, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai mahasiswa.

“Dia juga aktif di dalam kelas dan sering menjadi rujukan rakan-rakannya,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp