Pasukan Kolej Komuniti Beaufort tumpaskan 700 pencabar
Pasukan Kolej Komuniti Beaufort, Sabah mengejutkan ramai apabila berjaya mengalahkan 700 peserta di Pakistan International Culinary Championship 2024, Musim Ke-6 di Royal Palm Golf & Country Club, Lahore, Pakistan, baru-baru ini.
Mereka ialah Mohd Yusoff Yaakob dan Wisley Miriton, masing-masing mendapat pingat emas dan perak kategori Anugerah Best Carving Artist.
Mohd Yusoff yang merupakan pensyarah dalam bidang kulinari, melahirkan rasa bangga atas kemenangan yang diraih bersama Wisley (pelajar).
“Saya gembira kerana berjaya meletakkan nama Kolej Komuniti Beaufort di pentas dunia bersama pelajar sendiri.
“Besar harapan saya agar kolej kecil ini berterusan melahirkan bakat pelajar Sabah yang berkualiti bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa,” katanya yang sudah berkhidmat di Kolej Komuniti Beaufort sejak 2019 lagi.
Sementara itu, Wisley berkata, pelbagai perkara yang dipelajari sepanjang penyertaan dalam Pakistan International Culinary Championship 2024, Musim Ke-6 itu.
“Ini penyertaan sulung saya dalam pertandingan ukiran buah, baik dalam mahupun luar negara.
“Selain idea dan teknik ukiran, saya berpeluang mempelajari kemahiran berkomunikasi, budaya, makanan dan sejarah Lahore sepanjang pertandingan,” kongsinya.
Pakistan International Culinary Championship 2024, Musim Ke-6 berlangsung selama tiga hari, bermula 13 hingga 15 Februari lalu.
Ia merupakan anjuran Chefs’ Assiociation of Pakistan dan College of Tourism & Hotel Management (COTHM), Pakistan.
INFO
Antara kejayaan Mohd Yusoff bersama pelajar Kolej Komuniti Beaufort sebelum ini
1) Satu anugerah dan lima emas pada Istanbul Gastronomy Festival (2019)
2) Gangsa di Asia Hospitality & Culinary Challenge Expo, Male, Maldive (2019)
3) Perak dan dua gangsa dalam Thailand International Culinary Challenge, Thailand (2023)
4) Emas, perak dan enam gangsa di Taipei International Culinary Challenge, Taiwan (2023)