Sukarelawan bersama komuniti Orang Asli dalam Program Banding Trail dan Khidmat Komuniti baru-baru ini.
Sukarelawan bersama komuniti Orang Asli dalam Program Banding Trail dan Khidmat Komuniti baru-baru ini.

Inisiatif jangka panjang UiTM - Yayasan Pulau Banding

Pendidikan, pemeliharaan biodiversiti dan pembangunan komuniti Orang Asli

22 Jan 2026 03:19pm

Pejabat Komunikasi Strategik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kerjasama Yayasan Pulau Banding melaksanakan Program Banding Trail dan Khidmat Komuniti di Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Banun, Gerik baru-baru ini.

Program yang turut mendapat sokongan World Heritage Volunteers (WHV) di bawah seliaan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu melibatkan 86 sukarelawan yang terdiri daripada 50 peserta dari Pejabat Komunikasi Strategik UiTM dan selebihnya dari Yayasan Pulau Banding.

Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik) UiTM, Profesor Dr Ismie Roha Mohamed Jais berkata, sukarelawan terlibat telah menyantuni komuniti Orang Asli melalui bimbingan akademik, motivasi pembangunan diri serta penyerahan bantuan makanan kepada anak-anak orang asli.

"Program membuktikan peranan universiti bukan sahaja dalam aspek pendidikan tetapi juga merangkumi pembangunan komuniti.

No Image Caption

"Kerjasama berkenaan mendekatkan UiTM dengan masyarakat Orang Asli di samping memberi kesedaran tentang kepentingan memelihara biodiversiti.

"Sokongan UNESCO WHV turut memperluas nilai program ke peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, pada program itu pihak rombongan mendapat kerjasama yang baik daripada komuniti Orang Asli dari Suku Jahai dan Temiar yang mendiami kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan EMKAY merangkap Penasihat Yayasan Pulau Banding, Datuk Fazwinna Mustapha Kamal menegaskan, kolaborasi antara pihaknya dan UiTM akan diteruskan secara jangka panjang.

No Image Caption

"Kami telah merangka usaha berterusan termasuk program pendidikan untuk anak-anak Orang Asli, penyelidikan biodiversiti Royal Belum serta penglibatan lebih ramai sukarelawan antarabangsa.

"Ini adalah komitmen bersama UiTM dan Yayasan Pulau Banding bagi membina masa depan yang mampan," katanya.

Bagi Pengurus Pulau Banding Foundation merangkap Penyelaras World Heritage Volunteers, Zulfadhlan Ahmad Khushairi, pihaknya amat menyokong usaha-usaha yang dilakukan terhadap program tersebut.

No Image Caption

Jelasnya,Banding Trail bukan sekadar aktiviti komuniti, tetapi platform antarabangsa untuk menyemai kesedaran bahawa pendidikan dan pemeliharaan alam sekitar perlu bergerak seiring.

"Usaha UiTM dan Yayasan Pulau Banding ini adalah contoh kolaborasi terbaik antara komuniti tempatan dan sukarelawan dunia," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • UiTM dan Yayasan Pulau Banding menganjurkan Program Banding Trail dan Khidmat Komuniti di SK RPS Banun, Gerik
  • Program tersebut mendapat sokongan dari UNESCO melalui World Heritage Volunteers
  • Sukarelawan menyantuni Orang Asli melalui bimbingan akademik, motivasi diri, dan bantuan makanan
  • Kolaborasi ini bertujuan untuk pendidikan, pemeliharaan biodiversiti dan pembangunan komuniti Orang Asli
  • Usaha berterusan akan dijalankan termasuk program pendidikan untuk Orang Asli dan penyelidikan biodiversiti
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp