Inovasi kereta lumba Putra 1 di FSAE Japan 2024 banggakan Malaysia
Kejayaan Putra Motorsport Team (PMT) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta sejarah gemilang di pertandingan Formula SAE Japan 2024 (FSAEJ 2024) membuktikan anak watan mampu bersaing di pentas dunia, dalam kerancakan era inovasi dan kreativiti dalam industri automotif global.
Kejohanan yang berlangsung di Tokoname City, Aichi, Jepun pada September lalu, menyaksikan jentera seakan-akan Formula 1 yang dibangunkan oleh PMT, 'Putra 1', bukan setakat menunjukkan kemampuan teknikal pasukan, tetapi juga simbol kebanggaan serta kemajuan pendidikan kejuruteraan automotif di Malaysia.
PMT yang merupakan wakil tunggal Malaysia di pertandingan berkenaan berjaya meraih kedudukan ke-60 daripada 80 pasukan, satu pencapaian yang sangat mengagumkan dan rekod terbaik yang pernah dicapai Malaysia dalam pertandingan kompetitif seumpama itu.
Ini memandangkan pasukan UPM itu perlu bersaing dengan puluhan universiti automotif terkemuka termasuk dari Jepun seperti Kyoto Institute of Technology (pemenang keseluruhan) dan Honda Technical College Kanto, Tongji University (China) serta National Cheng Kung University (Taiwan), dengan rata-rata universiti berkenaan mendapat banyak bantuan teknikal dari pemain industri di negara masing-masing.
Dalam konteks ini, Putra 1 bukan sekadar kereta lumba namun ia adalah hasil usaha keras dan dedikasi pelajar untuk mencipta sesuatu yang luar biasa seiring dengan peribahasa 'usaha tangga kejayaan, yang membuktikan, usaha gigih serta komitmen pasukan membuahkan hasil positif.
Untuk rekod, FSAEJ adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh Society of Automotive Engineers (SAE) Japan bagi memberi peluang kepada golongan pelajar antarabangsa mereka bentuk dan membangunkan kereta lumba Formula dengan satu tempat duduk.
Setiap reka bentuk yang dibina juga perlu melalui pelbagai siri peraturan, yang bertujuan memastikan keselamatan di litar (kereta dipandu sendiri oleh pelajar) disamping daya kreativiti setiap peserta dalam mempromosikan penyelesaian masalah teknikal dengan bijak.
Belajar daripada pengalaman
Ketua pasukan FSAEJ, Chiew Weng Lam menjelaskan, PMT ditubuhkan sebagai sebahagian daripada usaha memupuk minat dan kemahiran pelajar dalam bidang kejuruteraan automotif.
Pasukan ini sudah wujud sejak beberapa tahun lepas dengan projek terdahulu seperti kereta lumba Jebat dan Lekir berdasarkan pemindahan pengetahuan daripada pelajar senior kepada junior. Walaupun COVID-19 membantutkan proses itu, pasukan PMT kali ini berjaya membangunkan kereta lumba Putra 1, hasil penyelidikan dan kreativiti mereka sendiri dengan sokongan pensyarah dan rakan industri.
Semangat juang yang tinggi juga mendorong PMT untuk melayakkan diri menyertai FSAEJ, yang bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar automotif sepertinya untuk bersaing tetapi juga menyediakan pendedahan berharga tentang teknologi automotif terkini.
"Penyertaan banyak pasukan dari pelbagai negara membolehkan pelajar mempelajari pelbagai teknik serta kaedah dalam reka bentuk dan pembangunan kereta lumba di samping mendedahkan kami kepada wawasan yang lebih luas tentang industri automotif global," jelas beliau.
Menurut Weng Lam, FSAEJ berfungsi sebagai platform ideal bagi pelajar untuk mengaplikasikan ilmu teori yang dipelajari di kelas, memandangkan proses pembuatan dan pengujian kereta lumba Putra 1 melibatkan reka bentuk, pengujian enjin, sistem suspensi, dan aspek aerodinamik yang kritikal.
Selain itu, pelajar turut berpeluang untuk belajar secara praktikal dan mengembangkan kemahiran teknikal yang sangat berharga untuk kerjaya mereka di masa hadapan.
Katanya, mereka juga belajar untuk bekerja secara berpasukan dan mengharungi pelbagai cabaran yang timbul sepanjang proses pembangunan.
"Bagi kami, ini satu pencapaian yang dapat mengangkat martabat Malaysia di peringkat antarabangsa. Apatah lagi, kami berjaya melepasi ujian pemeriksaan teknikal, salah satu cabaran terbesar dalam FSAEJ," katanya.
Pencapaian yang diraih PMT tentunya sangat membanggakan, terutamanya berbanding rekod pasukan Malaysia sebelumnya iaitu pada tahun 2016 (Kereta lumba Jebat dengan kedudukan 88/92) dan pada tahun 2018 (Kereta lumba Lekir dengan Ranking 82/92).
"Kejayaan ini menunjukkan kemajuan yang ketara dan membuktikan bahawa 'pahat dan penukul' serta dedikasi pelajar PMT membuahkan hasil yang memuaskan. Reka bentuk dan prestasi Putra 1 sepenuhnya dibangunkan oleh pelajar UPM dan berfungsi seperti kereta lumba yang sebenar.
"Kereta ini mempunyai kelajuan maksimum 140 km/j dan dirancang khusus untuk berlumba di litar FSAEJ. Semua proses reka bentuk dan fabrikasi juga menunjukkan dedikasi dan komitmen jitu pasukan terhadap kecemerlangan dalam kejuruteraan automotif," tambahnya.
Lebih membanggakan, banyak pasukan dari pelbagai negara menghubungi PMT dan menunjukkan minat dengan reka bentuk jentera Putra 1 yang tampak lebih aerodinamik, rekaan kerusi pemandu yang selesa dan juga reka bentuk masukan udara enjin yang unik, membuktikan kreativiti anak watan tiada tandingannya.
Cabaran proses R&D
Berkongsi sejarah proses pembinaan jentera Putra 1, Weng Lam menjelaskan, kereta lumba Putra 1 melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang panjang dan teliti.
Ini kerana, katanya, setiap pasukan perlu mematuhi lebih kurang 140 muka surat peraturan yang ketat ditetapkan pihak pengurusan FSAEJ dan satu kesilapan kecil boleh menyebabkan pembatalan penyertaan.
Sebaik meneliti setiap inci peraturan, PMT dibahagikan kepada enam kumpulan kecil yang masing-masing fokus kepada segmen penting dalam pembangunan kereta itu yang memakan masa kira-kira setengah tahun untuk disiapkan.
Mengenai kelebihan jentera Putra 1, beliau menjelaskan, kereta lumba ini ditambah baik dalam banyak aspek, terutamanya dengan pengurangan berat badan jentera sebanyak 20 peratus, iaitu 320 kg berbanding kereta lumba Jebat yang dibangunkan pasukan senior sebelum ini.
"Kami memanfaatkan enjin daripada motosikal Yamaha MT07 dengan kapasiti 689cc. Selain itu, sistem suspensi juga banyak ditambah baik, dengan sistem sekarang yang lebih ringan dan mudah diubah suai.
"Semua proses untuk merealisasikan lakaran komputer kepada bentuk fabrikasi ini dilakukan sendiri oleh pasukan kami dengan bimbingan 13 penasihat teknikal daripada kalangan staf UPM serta memanfaatkan penggunaan mesin pencetak 3D dan mesin kawalan berangka komputer (CNC).
"Manakala rekaan rangka bentuk badan atau casis menggunakan keluli kromoly chromoly, iaitu sejenis besi padu yang cukup kuat daya tahannya terhadap sebarang impak perlanggaran. Ini ditambah pula struktur badan kereta yang dilitupi dengan gentian karbon berwarna hitam dan merah tampak begitu garang dan cukup memukau mata," katanya.
Kerjasama industri-universiti
Pembantu kapten pasukan PMT, Ahmad Nubli Zainal Abidin pula menjelaskan, projek Putra 1 dibangunkan dengan kos melebihi RM100,000, tidak termasuk beberapa komponen kritikal yang disumbangkan oleh beberapa pemain industri automotif negara.
Oleh itu, beliau berharap, pihak industri perlu sentiasa menyokong dan menyalurkan bantuan teknikal kepada pelajar yang terlibat dalam projek antarabangsa sebegini bagi membolehkan mereka mampu terus bersaing di peringkat tertinggi.
Sebagai contoh, ada beberapa pasukan yang mampu membuat sendiri brek cakera dari seramik dan rim tayar dari gentian karbon, selain enjin yang turut dilengkapi sistem turbo.
Oleh itu, beliau beranggapan, sekiranya lebih banyak pihak industri dapat membantu dari segi teknikal dan penajaan sudah tentunya jentera yang lebih berkuasa tinggi dapat dihasilkan serta mampu bersaing dengan kedudukan yang lebih baik pada masa hadapan.
"Apatah lagi dengan pengalaman yang dapat diperoleh daripada FSAEJ, PMT berhasrat untuk membina jentera Formula 1 sekiranya mendapat sokongan dari segi kewangan serta teknologi daripada syarikat-syarikat luar dan kerajaan sendiri.
"Walaupun ini mungkin memerlukan sokongan kewangan dan teknologi yang lebih besar, pengalaman yang diserap dalam FSAEJ dapat menjadi titik permulaan yang penting bagi pelajar untuk melangkah ke tahap yang lebih tinggi dalam dunia perlumbaan.
"Keterlibatan pelajar dalam aktiviti sebegini diharapkan dapat menarik perhatian dan sokongan daripada pihak kementerian, terutamanya Kementerian Belia dan Sukan.
"Dengan penajaan yang lebih besar, PMT dapat memperluas lagi skop penyelidikan dan pembangunan mereka serta meningkatkan kapasiti teknikal pasukan," jelasnya lagi.
Aspirasi masa depan
Sementara itu, Ketua Penasihat PMT, Profesor Madya Dr Abdul Aziz Hairuddin berkata, pengalaman dari projek sebelumnya seperti Jebat dan Lekir menjadi panduan penting bagi pasukan UPM.
Pengalaman dalam FSAEJ, katanya, mengajar pelajar nilai penyelidikan yang teliti serta betapa pentingnya komunikasi dan kerjasama dalam mencapai matlamat.
Beliau menambah, meskipun berdepan pelbagai cabaran, pelajar yang terlibat tetap menunjukkan keyakinan dan kebolehan yang luar biasa.
Putra 1, katanya, bukan hanya mencerminkan kebolehan teknikal tetapi juga semangat inovasi yang perlu dicontohi oleh generasi akan datang.
"Kejayaan dalam pertandingan ini tidak mungkin dicapai tanpa strategi yang teliti. Dengan setiap cabaran, mereka membuktikan setiap usaha serta kerjasama yang mantap mampu membawa kepada kejayaan yang lebih baik.
"Pengalaman ini bukan sahaja menambah baik kemahiran teknikal pelajar tetapi juga membentuk mereka sebagai individu yang berdisiplin dan inovatif," katanya.
Di samping itu, kebolehan teknikal yang ditawarkan Putra 1 bukan sekadar mencerminkan kecemerlangan teknikal generasi muda Malaysia, tetapi juga aspirasi dan dedikasi mereka untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi dalam bidang automotif di peringkat antarabangsa.
"Melalui perjalanan penuh pancaroba ini, mereka bukan sahaja membina jentera lumba, tetapi turut mencipta legasi untuk generasi akan datang.
"Jika lebih banyak syarikat tempatan dan antarabangsa dapat memberikan sokongan dalam bentuk penajaan, pelajar-pelajar ini berpotensi untuk menjadi pelopor dalam industri automotif global," harap beliau lagi. - Bernama