Inovasi USIM, ICE BOX  dan BioCast merangkul pingat emas pada ITEX 2023 baru-baru ini.
Inovasi USIM, ICE BOX dan BioCast merangkul pingat emas pada ITEX 2023 baru-baru ini.

Inovasi USIM terima pengiktirafan khas ITEX 2023

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
17 May 2023 01:22pm
A
A
A

Inovasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima pengiktirafan khas, Anugerah Inovasi terbaik bagi kategori Institusi Pendidikan dan Universiti serta Anugerah Inovasi Terbaik daripada Patent office of the cooperation council for the Arab States of the Gulf.

Dua produk inovasi berkenaan yang merangkul pingat emas pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2023 baru-baru ini dikenali sebagai ICE BOX (Indoor, Comfort, Environment) dan BioCast.

Menurut Profesor Madya Dr Elina Mohd Husini yang merupakan Ketua penyelidik Produk inovasi ICE Box, inovasi berkenaan adalah sistem yang berfungsi untuk menyejukkan ruang ke tahap keselesaan penghuni hasil daripada perubahan haba termostat daripada cecair ke ais.

"Sistem yang dijana daripada sumber solar atau grid mengurangkan pengeluaran karbon itu juga bertindak sebagai bateri penyimpanan tenaga termal untuk penukaran fungsi penyejukkan pada waktu malam dan penukaran haba ke sistem air panas pada waktu siang.

 ICE BOX dan BioCast memperoleh pengiktirafan khas, Anugerah Inovasi terbaik bagi kategori Institusi Pendidikan dan Universiti serta Anugerah Inovasi Terbaik daripada Patent office of the cooperation council for the Arab States of the Gulf.
ICE BOX dan BioCast memperoleh pengiktirafan khas, Anugerah Inovasi terbaik bagi kategori Institusi Pendidikan dan Universiti serta Anugerah Inovasi Terbaik daripada Patent office of the cooperation council for the Arab States of the Gulf.

"Menariknya, sistem ini dibangunkan melalui tiga fasa iaitu dalam saiz yang berskala besar dengan kerjasama industri, ditambah baik reka bentuk dan sistem yang dikhaskan penggunaannya untuk sebuah rumah serta peringkat penyesuaian rupa produk bagi kegunaan pada ruang awam.

"Bahkan, ia telah diuji pada iklim berbeza iaitu tropika dan empat musim semasa pembinaan dalam pertandingan Rumah Solar di Dubai 2018," katanya.

Beliau menjelaskan, sistem itu dapat memberi peluang kepada setiap penghuni menikmati tahap keselesaan yang optima.

Artikel Berkaitan:

Tuturnya, ia juga mampu memberi peluang kepada pengusaha perumahan dengan kaedah penjimatan.

Dalam pada itu, Ketua Penyelidik produk inovasi BioCast, Ts Dr Mohd Ifwat Mohd Ghazali berkata, inovasi berkenaan merupakan kas lengan (arm cast) yang diperbuat daripada PHB dan polimer semula jadi yang diperoleh daripada sisa makanan serta resin berasaskan urethane dimethacrylate (UDMA).

"Mengikut pengalaman pesakit yang mengalami patah tulang lengan yang menggunakan BioCast ini, tempoh penyembuhan yang mampan dan lebih selesa dirasai oleh mereka di mana ia disesuaikan mengikut dimensi serta keperluan pesakit.

"Produk yang dicetak secara tiga dimensi (3D) dapat membantu mengurangkan potensi risiko komplikasi semasa proses penyembuhan," ujarnya.

Inovasi USIM terima pengiktirafan khas ITEX 2023.
Inovasi USIM terima pengiktirafan khas ITEX 2023.

Selain itu, beliau memberitahu, penggunaan PHB bukan sahaja memberi kemudahan dan keselesaan kepada pesakit tetapi juga mesra alam.

Katanya, ia berikutan PHB boleh terbiodegradasi sekali gus menjadikannya pilihan lebih mampan berbanding tuangan tradisional yang diperbuat daripada sumber tidak boleh diperbaharui.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Profesor Datuk Dr Muhammad Tauffik Mohd Noor berkata, beliau mengharapkan para penyelidik terus bersemangat menghasilkan inovasi-inovasi yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

"Saya berharap inovasi-inovasi yang dibangunkan kelak dapat mengharumkan nama universiti dan negara sehingga di persada antabangsa," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok