Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan UMK terima anugerah dari CIRDAP
Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) diumumkan sebagai penerima Anugerah Aziz-Ul Haq Rural Development Medals dari Centre on Integrated Rural Development for Asia and the Pacific (CIRDAP).
Naib Canselor UMK, Datuk Profesor Dr Razli Che Razak berkata, UMK adalah universiti pertama di Malaysia yang menerima anugerah itu dari CIRDAP yang dianggotai oleh 15 negara iaitu Afghanistan, Bangladesh, Fiji, India, Indonesia, Iran, Laos, Malaysia, Myanmar, Nepal, Pakistan, Filipina, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam.
Menurut beliau, pencapaian InsPeK UMK di peringkat antarabangsa itu dinilai berdasarkan pengurusan efisien InsPeK yang menyumbang kepada pembangunan luar bandar, termasuk meningkatkan kualiti hidup, menguruskan kemiskinan dan isu keterjaminan makanan kepada masyarakat luar bandar di Malaysia.
"Justeru, InsPeK UMK kini menjadi organisasi contoh di peringkat Asia dan Pasifik dalam menguruskan isu masyarakat luar bandar dan kemiskinan.
“Anugerah ini memberi satu pengiktirafan tertinggi di peringkat Asia kepada InsPeK UMK di atas kemurnian, kesungguhan, komitmen dan keberkesanan dalam menguruskan masyarakat luar bandar, khususnya berkaitan kemiskinan," menurutnya dalam satu kenyataan selepas Majlis Penyampaian Anugerah-anugerah Aziz-Ul Haq Rural Development Medals, di Kelantan pada Khamis.
Sementara itu, Prof Dr Wan Ahmad Amir Zal berkata anugerah itu amat bermakna kepada InsPeK UMK bersempena umurnya genap 10 tahun pada tahun ini. UMK ditubuhkan pada tahun 2014.
"InsPeK UMK adalah antara 10 penerima dalam kategori organisasi. Penerima lain termasuk dari negara Kuwait, Filipina, Bangladesh, Thailand dan Myanmar," katanya.
Antara penerima anugerah Aziz-Ul Haq Rural Development Medals ialah Asia Cooperation Dialogue (ACD) (Kuwait), Asian NGO Coalition for Agrarian Reform and Rural Development (ANGOC) (Filipina), Bangladesh Shrimp and Fish Foundation (BSFF) (Bangladesh), Centre for Disability in Development (CDD) (Bangladesh) dan Cooperative Auditing Department (CAD), Thailand. - Bernama