Kepelbagaian aktiviti dikuti para peserta sepanjang Karnival STEAM.
Kepelbagaian aktiviti dikuti para peserta sepanjang Karnival STEAM.

iROViS tarik minat pelajar dalami ilmu sains

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
30 Sep 2024 01:47pm

Menguasai pelbagai cabang sains membuka peluang kepada pelajar memahami dunia dengan lebih mendalam dan menyeluruh.

Mereka juga dapat membina asas yang kukuh untuk mengatasi cabaran global seperti perubahan iklim, kemajuan teknologi dan kesihatan awam.

Menyedari kelebihan dalam pelbagai disiplin sains, baru-baru ini, Pusat Penyelidikan Optometri dan Sains Visual (iROViS), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor menganjurkan siri perkongsian ilmu kepada para pelajar di daerah Kuala Langat, Selangor dengan tujuan memperkasa minat mereka bagi mendalami bidang sains, teknologi, inovasi serta kesihatan.

Sebanyak tujuh buah Sekolah Gemilang dan Sekolah Angkat Sains Kesihatan di daerah itu telah menyertai program yang diadakan sempena Karnival Pengajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik (STEAM) Peringkat Daerah Kuala Langat di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Sepat.

Sepanjang program, iROViS menjemput dua Pensyarah Kanan Optometri, Ahmad Mursyid Ahmad Rudin dan Azmir Ahmad untuk berkongsi ilmu bersama para peserta.

Masing-masing menyampaikan tajuk Computer Vision Syndrome serta Pencahayaan dan Penglihatan sebagai pengetahuan bersama.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, mereka (peserta) menimba ilmu daripada dua Pensyarah Kanan Fisiologi UiTM iaitu Dr Razif Dasiman dan Dr Fatin Nadzirah Zakaria menerusi tajuk Asas Inovasi serta Pengenalan dan Pengurusan STEAM.

Selain perkongsian ilmu daripada wakil iROViS dan UiTM, para peserta berpeluang menyaksikan Pameran Sains Kesihatan yang merangkumi Blood Games, Wound Simulation, Cognitive Games, Analisis Komposisi Tubuh, Dunia Mikrobiologi, Vision Interactive Session dan Kuiz Kesihatan sempena Karnival STEAM.

Terdapat juga acara pertandingan lain yang dijalankan seperti pertandingan poster masa depan, reka cipta kenderaan masa depan, pelancaran roket dan hiasan sapu tangan.

Ketua iROViS, Dr Saiful Azlan Rosli pula berkata, program seumpama ini perlu diteruskan pada masa akan datang bagi memupuk minat golongan pelajar terutamanya dari luar bandar.

Katanya, ia membantu mentransformasikan minda mereka ke arah yang lebih terbuka terhadap ilmu sains, kreatif, produktif dan inovatif selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) khususnya meningkatkan pengetahuan dalam bidang sains kesihatan (SDG 3: Good Health and Wellbeing), penyampaian pendidikan yang berkualiti (SDG 4: Quality Education), memupuk budaya berinovasi (SDG 9: Innovation) serta menggalakkan kolaborasi pelbagai agensi (SDG 17: Partnerships for the Goals).

"Dengan kolaborasi pelbagai pihak yang mantap, banyak usaha dapat digembelingkan, matlamat dan objektif yang jelas dapat dicapai bersama serta mampu menjadi penggerak dalam meningkatkan semula minat generasi muda untuk mencintai lapangan ilmu sains dan teknologi kelak,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp